SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad membuat penjelasan bahawa kandungan hidrogen sianida yang dikesan di ruang udara Pasir Gudang jauh lebih rendah berbanding sebatang rokok.
Katanya, berdasarkan bacaan hidrogen sianida yang berada pada paras 5 partikel per sejuta (PPM) di ruang udara kawasan yang terjejas dengan pencemaran sisa bahan kimia berkenaan jauh lebih rendah daripada setiap sedutan rokok yang mencatatkan bacaan sebanyak 46ppm.
"Saudara-saudara, bahan toksik seperti benzene dan toluene yang dikesan pada sampel (pencemaran) di Pasir Gudang (juga) terdapat dalam asap rokok. 5 ppm hidrogen sianida dikesan di udara Pasir Gudang tetapi setiap sedutan rokok menjana 46 pppm hidrogen sianida,” ciapnya di laman Twitter.
ARTIKEL BERKAITAN: Bomba kesan gas hidrogen sianida di Sungai Kim Kim
Ciapan itu dibuat bagi menjawab soalan seorang pengguna Twitter @KelawarMY yang mempersoalkan tindakan kerajaan tidak memindahkan penduduk di Pasir Gudang yang kini tercemar dengan toksik sedangkan kementerian sebelum ini mengeluarkan larangan merokok di kedai makan.
Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini berkata, pihaknya mengesan kehadiran gas hidrogen sianida yang mana merupakan antara salah satu daripada 15 gas yang dikesan susulan pencemaran udara ekoran pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, gas berkenaan dikesan pada 13 Mac lalu selepas kerja-kerja pembersihan di kawasan perumahan dekat Tanjung Puteri dengan bacaan 4.5ppm.
"Namun bacaan itu hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum kembali ke paras berjaga-jaga," katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.
Yahaya turut memaklumkan operasi pembersihan di Sungai Kim Kim akan diselesaikan dalam tempoh dua hari sebelum berlaku hujan pada Selasa ini susulan ramalan dari pihak Jabatan Meteorologi.
Katanya, cuaca hujan turut menjadi faktor penyebaran gas di kawasan setempat bergerak lebih cepat.