PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap pihak yang didapati menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.
KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, terdapat lima jenis topeng muka yang telah ditetapkan harga maksimum runcit bagi barang harga terkawal.
Iklan
Iklan
"Ia terdiri daripada topeng muka satu lapis (sangkut telinga) dijual pada harga runcit RM7 sekotak dan topeng muka dua lapis dijual dengan harga RM10 sekotak dan topeng muka tiga lapis RM25 sekotak atau 80 sen seunit.
"Bagi topeng muka tiga lapis (ikat) harga seunit 80 sen dan dan topeng muka N-95 dijual pada harga RM6 seunit atau RM100 sekotak.
"Kelima- lima jenis topeng muka yang dikawal harganya secara perundangan ini adalah di bawah peruntukan akta yang sama (Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011),” katanya.
Dalam perkembangan sama, KPDNHEP turut memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terlibat dalam pembekalan dan penjualan topeng muka agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum topeng muka yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Permintaan terhadap topeng muka meningkat susulan kejadian pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor Bahru yang bermula sejak 7 Mac lalu.