JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) berhasrat bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana yakin mampu memperoleh kemenangan dua pertiga majoriti.
Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, gabungan tersebut akan bertanding di semua 56 kerusi DUN dan tidak memerlukan kerjasama dengan mana-mana parti yang berada di luar BN.
"Kita akan cadangkan kepada BN Pusat untuk BN Johor bertanding sendirian dalam PRN, kita yakin boleh menang tetapi apa pun keputusan ini terpulang kepada pucuk pimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat Pilihan raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi di sini pada Ahad.
Turut hadir Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.
Pada Sabtu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN.
Susulan itu Hasni dalam sidang akhbar pada Sabtu memberitahu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.
Mengenai keputusan pembubaran DUN Johor yang dikatakan tidak mendapat persetujuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta didakwa hanya keputusan UMNO sendirian, beliau berkata, pihaknya tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada parti lain.
Katanya, ini kerana PRN adalah diasaskan kepada Bahagian Kedua dan Ketiga Fasal 23 Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang membenarkan pihaknya membubarkan DUN sebelum tamat tempoh lima tahun tanpa mendapat persetujuan mereka.
"Itu yang pertama, kedua pembubaran DUN hanya boleh dibuat Sultan Johor dan kita sudah patuhi kedua-dua fasal dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri. Jadi perkara ini tidak berbangkit.
"Oleh itu, Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri yang diadakan semalam hanya untuk memaklumkan berhubung pembubaran DUN dan bukannya untuk mendapat persetujuan mereka," katanya.
Pada Ahad, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Solihan Badri mendakwa, UMNO mengenepikan parti lain dalam kerajaan negeri dalam membuat keputusan pembubaran DUN.
Malah Mohd Solihan yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor berkata, pandangan atau persetujuan Exco untuk membubarkan DUN juga tidak diminta ketika MMK diadakan.