Bimbingan pemain industri mampu wujudkan syarikat pemula TVET

Iklan
Gambar Hiasan - (Gambar kecil: ADHAM BABA)

JOHOR BAHRU - Penglibatan pemain industri perlu diperkasa, khususnya dalam usaha melatih penuntut dan lepasan kolej vokasional menepati keperluan pasaran pekerjaan selain berpotensi mewujudkan syarikat pemula niaga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini berikutan pemain industri memainkan peranan untuk membimbing penuntut Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dilihat dapat menggalakkan mereka menubuhkan syarikat pemula niaga khususnya dalam bidang teknologi dan kemahiran.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan mereka (lepasan) bukan setakat diambil bekerja oleh pihak industri pada peringkat awalnya, tetapi juga berpotensi mengembangkan kemahiran dan dalam usaha menjana pendapatan sendiri (pada masa depan).

"Mereka juga berkemungkinan besar dapat menubuhkan syarikat sendiri atau syarikat pemula niaga dalam bidang teknologi dan kemahiran,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Vokasional Kota Tinggi dengan pemain industi tempatan pada Ahad.

Iklan

Dr Adham berkata, kerjasama pemain industri dan penuntut TVET juga dapat membantu negara mencapai Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up Malaysia (SUPER) yang mana MOSTI menyasarkan untuk mewujudkan 5,000 syarikat termasuk lima syarikat bertaraf ‘unicorn’ menjelang 2025.

"Sekiranya mereka memerlukan perkembangan yang lebih tinggi daripada geran, MOSTI juga ada agensi seperti Malaysia Debt Ventures Bhd, Cradle Fund Sdn Bhd untuk membantu mereka,” katanya.

Iklan

Pada masa sama, katanya, kementerian turut mengalu-alukan kalangan lepasan TVET untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau ke luar negara bagi membolehkan mereka mempunyai kemahiran tinggi.

Malah, MOSTI juga sentiasa membuat pemantauan melalui Lembaga Ahli Teknologi Malaysia (MBOT) dengan beberapa program yang boleh menjadikan mereka ini setanding dengan ahli teknologi dan juruteknik berkemahiran tinggi. - Bernama