Benarkan peniaga naik harga: Rosol tampil beri penjelasan

Iklan
Rosol

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul susulan daripada kenyataannya berhubung kebenaran untuk peniaga menaikkan harga jualan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu menjelaskan bahawa tiada istilah dalam pentadbiran kerajaan yang memberikan kebenaran kepada peniaga untuk menaikkan harga barang.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, beliau berkata, kenyataannya berkenaan isu tersebut adalah berkaitan penguatkuasaan KPDNHEP dalam menangani isu kenaikan harga barangan dan makanan.

"Maksud sebenar saya berhubung 'Peniaga boleh naikkan harga asalkan tidak mencatut' adalah menerangkan maksud yang selaras dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 iaitu peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna termasuk dalam membuat sebarang perubahan harga jual.

Iklan

"Tetapi, ia juga tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah AKHAP2011, termasuk tidak mencatut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Rosol pada Jumaat berkata, susulan daripada peningkatan harga barangan mentah, peniaga makanan dibenarkan untuk menaikkan harga jualan mereka dengan syarat tiada sebarang unsur mencatut.

Iklan

Dalam laporan sama, beliau berkata, terdapat keluhan dan rungutan daripada peniaga yang mengatakan barang makanan yang dijual mereka terpaksa dinaikkan harga kerana barang mentah diterima sudah terlalu tinggi.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran.

"Begitu juga dalam isu harga makanan, di mana peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah membuat sebarang perubahan harga jual.

"Namun begitu, adalah diingatkan dan ditegaskan, peniaga tertakluk dengan peruntukan AKHAP2011 yang mana peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan supaya tidak sesekali melakukan perubahan harga yang tidak seiring dengan kenaikan kos ditanggung dan penetapan harga jual juga perlu munasabah supaya tidak membebankan pengguna.

Katanya, kementeriannya akan menyiasat dan mengenakan tindakan di bawah AKHAP2011 kepada mana-mana peniaga sekiranya terdapat sebarang aduan.

"Pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut,diminta mengemukakan aduan kepada saluran aduan rasmi KPDNHEP bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan lanjut diambil.

"Gunakan kuasa pengguna anda sebaiknya,” katanya.