KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bakal membuka kedai koperasi atau Coop Mart dalam usaha membantu rakyat mendepani isu kenaikan harga barangan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau menyasarkan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai sekurang-kurangnya satu kemudahan itu.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, pembukaan kedai itu dijangka bermula seawal Februari melibatkan dua lokasi telah di kenal pasti iaitu di Ampang dan Putrajaya.
"Kedai ini kita selarikan konsepnya jadi apabila orang tengok saja gambar, orang tahu itu adalah Coop Mart.
"Operasi kedai kita tumpu di kawasan luar bandar, manakala dalam bandar pula di Projek Perumahan Rakyat (PPR) juga rumah kos rendah," katanya pada Majlis Pelancaran Koperasi Kipidap Malaysia Berhad di Dewan Rekreasi Yayasan Pendidikan Cheras di sini pada Ahad.
Noh berkata, Coop Mart bakal menawarkan harga rendah daripada pasaran melalui kaedah berurusan secara terus dengan pengeluar tanpa khidmat orang tengah.
Selain itu katanya, bagi menjamin harga rendah, kerajaan juga memberikan peruntukan RM20 juta untuk mengurangkan beban operasi koperasi terlibat.