JAGUH perseorangan negara, Lee Zii Jia disaran kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) demi menjamin masa depan kariernya.
Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj berkata, Zii Jia harus ‘mengendurkan’ emosi dengan segera mengemukakan rayuan kepada badan induk itu.
"Kita mesti faham masalah sebenarnya di mana Zii Jia masih ada kontrak dengan BAM dan (kontrak) itu tidak boleh dibatalkan begitu sahaja.
"Untuk batalkan kontrak, Zii Jia perlu berbincang dengan BAM agar kedua-dua pihak mencapai satu persetujuan berhubung apa sebenarnya yang dimahukannya.
"Apa yang saya tahu, BAM tidak dapat menerima beberapa permintaan Zii Jia sebelum ini. Jadi kedua-dua pihak harus kembali berbincang dan bukannya terus berkonflik.
"Perkara terbaik buat masa ini, Zii Jia buat rayuan kepada BAM. Harap akan ada nanti situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Minggu lalu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Zii Jia sudah sudah menghantar surat peletakan jawatan untuk keluar daripada badan induk berkenaan pada 11 Januari 2022.
Malah, beliau berkata, usaha memujuk Zii Jia kekal di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara tidak berjaya kerana pemain berusia 23 tahun itu tetap dengan pendirian untuk meninggalkan BAM.
Situasi itu menyaksikan BAM membuat keputusan tidak akan mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa dalam tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari 2022.
James berkata, agak malang sekiranya Zii Jia yang kini dilihat berada pada prestasi terbaik pada usia 24 tahun tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan dalam tempoh tersebut.
"Dua tahun adalah satu masa yang lama. Kalau Zii Jia berlatih hari-hari pun tanpa sertai mana-mana kejohanan, momentum dan rentak permainannya akan terganggu.
"Orang di luar sekarang hanya nampak salah BAM tetapi mereka tak tahu, BAM ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi,” ujarnya.
Mengulas mengenai ‘penggantungan’ dua tahun ke atas perseorangan wanita, Goh Jin Wei, James berkata, isu membabitkan juara remaja dunia 2015 dan 2017 itu dengan Zii Jia tidak sama.
"Jin Wei kata dia ada masalah kesihatan dan keluar daripada BAM. Tetapi selepas itu dia sertai Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) sebagai pemain profesional.
"Itu yang buat BAM mungkin marah sehingga mengambil tindakan ke atasnya. Tetapi saya tetap harap Jin Wei buat rayuan kepada BAM demi masa depannya,” jelas James.