SYRACUSE - Para saintis baru-baru ini berjaya menghasilkan gambaran bentuk muka mumia wanita yang meninggal dunia kira-kira lebih 2,500 tahun lalu di Mesir.
Gambaran wajah mumia yang dikenali sebagai Shep-en-Isis itu dihasilkan selepas kerja-kerja penyelidikan dilakukan selama beberapa bulan hasil usaha Pusat Penyelidikan untuk Bioarkeologi, Paleopatologi dan Antropologi Forensik di wilayah Syracuse, Itali.
Iklan
Iklan
Kerja-kerja bagi menghasilkan gambaran wajah manusia yang hidup pada abad ketujuh Sebelum Masihi di Mesir itu turut melibatkan Universiti Flinders di Australia dan seorang pereka bentuk teknologi Tiga Dimensi (3D) dari Brazil, Cicero Moraes.
Gigi mumia itu terpelihara dengan sempurna begitu juga dengan telinganya semasa kerja-kerja membina gambaran bentuk wajah tersebut dilakukan.
Mumia wanita itu ditemui pada tahun 1819 di Deir el-Bahari iaitu sebuah kompleks kuil mayat dan makam terkenal yang terletak di tebing barat Sungai Nil di Mesir sebelum ia dibawa ke Switzerland pada tahun 1820.
Shep-en-Isis ditemui di dalam makam keluarga yang terletak di kawasan kuil mayat Firaun Hatshepsut di kuil Deir el-Bahari.
Tulang-tulangnya kemudian disimpan di Perpustakaan Biara Sao Galo di bandar St Gallen, Switzerland. - Agensi