Rangka tindakan sektor kewangan baharu akan kemudi cabaran

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Strategi yang dibentangkan dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 akan menjadi kritikal bagi sektor itu untuk mengharungi atau mengemudi cabaran dan peluang yang mendatang, dan seterusnya melengkapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri Kewangan, SenatorTengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menyatakan' hasil utama yang dijangkakan termasuk memajukan pendigitalan sektor kewangan; menyediakan pilihan dan akses yang bermakna untuk pengguna; meningkatkan kerancakan ekosistem pembiayaan untuk memenuhi keperluan ekonomi Malaysia serta penggunaan yang lebih meluas terhadap amalan kewangan hijau dan kemampanan.

Iklan
Iklan

"Saya turut menantikan penyertaan bank digital, penanggung insurans dan pengendali takaful digital.

"Impak mereka kepada pembangunan negara melalui penggunaan teknologi dan pengenalan penyelesaian kewangan yang inovatif akan meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia, memupuk kecekapan yang lebih tinggi serta menyumbang ke arah landskap kewangan yang lebih berdaya saing,” katanya.

Iklan

Tengku Zafrul berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu MyFintech 2022 dan pelancaran Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang diadakan secara maya pada Isnin.

Beliau berkata, sektor kewangan perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam menempatkan ekonomi di landasan yang lebih baik.

Iklan

"Memandangkan sekarang ini, matlamat negara kita telah ditetapkan dan rangka tindakan dirangka, tiba masanya untuk bertindak. Tahun 2022 bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan penting bagi Malaysia, tetapi juga peluang yang jarang berlaku untuk melakukan pembaharuan dan membuktikan masa depan diri kita sendiri.

"Laluan ke hadapan akan memerlukan paling tidak pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan kerajaan, pengawal selia, sektor swasta, organisasi masyarakat sivil, dan komuniti kewangan,” tambah Tengku Zafrul.

Menteri Kewangan itu menambah, sejak merdeka, sektor kewangan telah menjadi kritikal kepada pembangunan ekonomi selain merealisasikan aspirasi negara.

Antara tahun 2011 dan 2020 sahaja, populasi dewasa dengan akaun deposit meningkat kepada hampir 96 peratus daripada 82 peratus, kredit domestik kepada sektor swasta sebagai peratusan keluaran dalam negara kasar meningkat kepada 134 peratus daripada 108 peratus, dan transaksi e-pembayaran per kapita bertambah kepada kepada 170 daripada 49.

Sepanjang pandemik pula, Tengku Zafrul berkata, sektor kewangan telah memainkan peranan penting dalam menyokong rakyat dan perniagaan dengan menghulurkan bantuan pembayaran balik pinjaman dan memudahkan penstrukturan semula kemudahan pinjaman.

Antara 1 Jun hingga 24 Disember 2021, lebih 2.7 juta peminjam individu dan lebih 95,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah mendapat bantuan pembayaran balik.

Bersama-sama dengan usaha kerajaan untuk menggiatkan semula ekonomi, pembiayaan kepada PKS kekal teguh, meningkat 4.6 peratus pada November 2021 dan pengeluaran pinjaman terkumpul dalam tempoh 11 bulan pertama 2021 ialah RM281 bilion. - Bernama