CWAL diharap dapat main peranan bimbing wanita: Azizah

Iklan
Azizah (dua dari kanan) semasa gimik pelancaran perasmian penubuhan CWAL di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berharap penubuhan Centre for Women Advancement and Leadership (CWAL) di bawah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dapat memainkan peranan bagi membimbing golongan wanita maju ke hadapan.

Katanya, CWAL akan menjadi batu loncatan bagi pemerkasaan peranan golongan wanita dalam pembangunan negara melalui program dan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran serta daya saing mereka.

Iklan
Iklan

"Ia selaras dengan agenda negara dalam memberi akses kepada wanita untuk bergiat aktif dalam pendidikan tinggi, jawatan pengurusan dan tenaga mahir dalam pelbagai bidang di samping meningkatkan pengetahuan, kemahiran, pengurusan emosi dan psikologi.

"Penubuhan CWAL juga sejajar dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita yang berilmu dan berwawasan, membangunkan potensi dan mendayakan wanita dalam semua sektor.

Iklan

"CWAL juga bermatlamat sebagai pusat yang mempromosikan idea yang lebih komprehensif dan inovatif serta melaksanakan inisiatif yang berimpak tinggi di samping mewujudkan jaringan di peringkat tertinggi dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penubuhan CWAL di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi UniKL, Profesor Emeritus Datuk Dr Sukiman Sarmani.

CWAL akan diketuai oleh Dr Jimisiah Jaafar sebagai Pengarah dan ia mempunyai 23 kluster serta diketuai oleh mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

Azizah (empat dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Profesor Dr Suriani Abu Bakar yang akan mengetuai Kluster Sains dah Inovasi.

Mengulas lanjut, Azizah menambah, CWAL juga boleh bertindak menjadi suara dan pemangkin aspirasi golongan wanita ke arah memperkasakan diri mereka dalam konteks kemajuan sosioekonomi.

Di samping itu katanya, CWAL boleh mewujudkan lebih banyak program, seminar dan bengkel dalam memupuk kesedaran yang lebih besar, membina rangkaian dan mengalihkan minda ke arah kemajuan serta kemakmuran golongan wanita.

"Program, seminar dan bengkel yang diadakan akan berfokuskan pembangunan kemahiran bukan sahaja dalam kalangan golongan wanita B40, malah mencakupi golongan wanita M40 dan T20,” katanya.

Menurutnya, program-program yang dirancang merangkumi latihan dan bimbingan yang bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka seperti dalam bidang kepimpinan strategik, membuat keputusan dan pengurusan risiko.

"Selain itu, program mentor mentee dan bimbingan juga dapat membantu golongan sasaran ini untuk lebih berkeyakinan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan peratusan wanita yang memegang jawatan tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah dan sebagainya.

"Ini adalah kerana wanita yang memimpin arus perubahan inilah yang akan menentukan masa depan negara,” ujarnya.

Selain itu, Azizah berkata, CWAL juga berperanan sebagai medium untuk penyelidik dan akademik dari pelbagai institusi penyelidikan, pengajian tinggi serta industri bergabung tenaga dan intelektual untuk menjalankan kajian penyelidikan berkaitan dasar, isu dan cabaran melibatkan pembangunan golongan wanita.

Dalam pada itu, Sukiman pula berkata, penubuhan CWAL dilihat sebagai suatu lonjakan untuk UniKL memainkan peranan yang lebih dominan dalam agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita di Malaysia.

"Saya percaya, CWAL UniKL mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk mencapai aspirasi tersebut,” katanya.