Segera daftar, carum pekerja: Perkeso

Iklan
Sebahagian daripada Program Pemutihan yang dijalankan Perkeso Melaka di sebuah premis perniagaan di Ayer Keroh, baru-baru ini. (Gambar kecil: FADHILAH)

MELAKA - Majikan di negeri ini yang masih belum mencarum pekerja mereka di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dinasihatkan segera berbuat demikian bagi mengelak tindakan diambil ke atas mereka.

Pengarah Perkeso negeri, Fadhilah Hamil berkata, mana-mana majikan yang gagal membuat pendaftaran berkenaan akan diambil tindakan melalui operasi Op Kesan bermula 1 April depan.

Iklan
Iklan

"Tempoh pemutihan yang telah dilancarkan pada 1 Mac lalu akan berakhir pada penghujung Mac ini, iaitu lebih kurang tinggal dua minggu lagi.

"Oleh itu, kita minta kerjasama semua majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka dengan Perkeso sebelum tamat tarikh tempoh pemutihan terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Iklan

Menurutnya, selepas tempoh pemutihan, jika majikan masih gagal untuk hadir mendaftar dan mencarum, Perkeso akan turun padang bagi Op Kesan untuk melawat dan mengenal pasti majikan yang masih ingkar.

"Dengan pelancaran Op ini bermakna majikan yang dikesan tidak mendaftarkan perusahaan atau pekerja mereka akan dikenakan tindakan kompaun serta merta.

Iklan

"Majikan juga perlu membayar caruman daripada mula tarikh liabiliti. Penalti atau juga dikenali sebagai Faedah Caruman Lewat Bayar yang dikenakan kepada majikan tanpa diberi pertimbangan untuk pengurangan," katanya.

Menurut Fadhilah, Perkeso Melaka kini sedang giat mengedarkan risalah program pemutihan seluruh negeri.

"Majikan diminta tampil secara sukarela ke pejabat Perkeso untuk mendaftar perusahaan dan pekerja mereka.

"Op Kesan Perkeso ini bertujuan memberi kesedaran kepada majikan tentang tanggungjawab menjaga hal kebajikan pekerja agar tidak diabaikan," katanya.

Tambahnya, beliau mahu kejadian yang menimpa seorang pekerja, Noor Sykira Syzlin Mat Ail, 22, apabila melecur 52 peratus anggota badan dalam kejadian kebakaran di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai pada 23 Februari lalu diambil pengajaran oleh semua.

Sinar Harian pada 10 Mac lalu, melaporkan seorang kakak kesal, apabila majikan bersikap lepas tangan dalam kejadian kemalangan di tempat kerja yang menimpa adiknya sehingga mangsa mengalami kritikal selepas melecur 52 peratus anggota badan dan terpaksa menerima rawatan di ICU, Hospital Melaka.