IPOH - Dua syarikat didenda oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin selepas didapati bersalah mengabaikan aspek keselamatan hingga mengakibatkan kematian dua pekerja pada Julai 2019 dan April tahun lalu.
Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000 terhadap Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan.
Syarikat yang diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Hidayatullah Mohamed Yusof didapati gagal memastikan sistem penangkapan jatuh bagi kerja-kerja memasang 'hanging scaffold' ada hingga menyebabkan kemalangan kepada pekerja warga Bangladesh, Kamal Hossein, 42.
Kejadian itu berlaku di SUL02 Gantry Crane, Jeti Lekir Bulk Terminal, Pulau Lekir Satu, Jalan Teluk Rubiah, Seri Manjung, kira-kira jam 12.50 tengah hari pada 17 Julai 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Devyclay Pius dan Shahrill Sulaiman manakala syarikat terbabit diwakili peguam Tajuddin Razak.
Sebuah lagi syarikat, MARDEC Processing Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Operasi Kilang, Mohamad Zubir Md Desa didenda RM35,000 selepas mengaku bersalah di bawah akta yang sama.
Syarikat pemprosesan getah itu didakwa gagal untuk mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti pemanduan forklift hingga menyebabkan kemalangan kepada pekerja warga Bangladesh, Md Dillon Sheikh, 32, di kilang terbabit di Bota Kanan, kira-kira jam 11.30 pagi pada 4 April 2021.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP, Eza Marny Marzuki manakala Mohamad Zubir diwakili tidak diwakili peguam.
Kedua-dua wakil syarikat membayar denda berkenaan.