Anak saudara, bekas pekerja Sivarasa didakwa rasuah

Iklan
Anak saudara kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas tiga pertuduhan rasuah.

KUALA LUMPUR - Anak saudara kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan rasuah untuk tidak melaporkan kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, lima tahun lepas.

Iklan
Iklan

R Naveen Kularasa, 50, yang juga pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen itu dan Nico Kam Joo Hoe, 24, bekas pekerja Sivarasa masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama telah secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn Bhd milik individu itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.

Iklan

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua lelaki itu didakwa telah secara rasuah iaitu bersetuju untuk menerima bagi diri mereka wang tunai RM45,000 dan menerima wang tunai RM20,000 daripada pemilik syarikat sama melalui Nico (tertuduh kedua) berhubung perkara sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Cheras dan di sekitar Kuala Lumpur pada 1 petang hingga 10 malam, antara 17 hingga 21 September 2017.

Iklan

Sivarasa

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun Kam yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia baru mendapat pekerjaan sebagai pemandu van, berpendapatan RM2,200 sebulan.

"Saya datang ke mahkamah hari ini dengan menggadai emas (barang kemas) milik ibu dan saya dapat RM1,500 sahaja. Ibu saya hadir ke mahkamah hari ini sebagai penjamin," kata Nico yang turut memaklumkan dia memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa semasa siasatan.

Peguam M Puravalen mewakili Naveen tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung jaminan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam bagi Nico. - Bernama