GUA MUSANG - Lebih 7,000 penduduk luar bandar di negeri ini menerima manfaat daripada pembinaan dua jambatan konkrit oleh kerajaan yang menelan belanja lebih RM60juta di Kuala Krai dan daerah ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan dua jambatan tersebut adalah Jambatan Pemberian di Kuala Krai yang sudah dibuka kepada pengguna sejak Oktober dua tahun lalu, manakala Jambatan Kampung Bertam Baru, Gua Musang yang dijangka siap sepenuhnya Disember 2021.
"Jambatan kekal konkrit yang dibina di Kampung Pemberian adalah sepanjang 240 meter manakala di Kampung Bertam Baru, Gua Musang pula adalah jambatan dua lorong yang merentasi Sungai Nenggiri.
"Pembinaan kedua-dua jambatan itu masing-masing menelan kos hampir RM30 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) 2022 di Kesedar Gua Musang di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Kesedar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Mahdzir berkata, kedua-dua jambatan besi sebelum ini yang dibina antara 40 hingga 50 tahun lalu itu sentiasa ditenggelami banjir menyebabkan kampung-kampung yang berada di seberang kawasan terputus hubungan.
"Keadaan bukan sahaja menganggu urusan seharian penduduk, malahan pelajar juga tidak dapat hadir ke sekolah sehingga terpaksa menunggu air sungai surut.
"Pembinaan ini membuktikan komitmen kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam usaha membantu masyarakat luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, Jambatan Kampung Pemberian melibatkan lebih 2,000 penduduk di Kampung Pemberian dengan Kampung Sungai Chepa dan Kampung Ragu untuk ke laluan utama Kuala Krai-Gua Musang melalui Kampung Manjor.
"Projek pembinaan Jambatan Kampung Bertam Baru yang bermula pada Mac empat tahun lalu itu adalah projek yang dinanti-nantikan lebih 5,000 penduduk kerana dapat menghubungkan 50 kampung melalui Jalan Kemubu, Dabong, Jelawang, Kuala Balah, Jeli dan Gua Musang,” katanya.