PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan kementerian masih berusaha mencari seorang mangsa yang masih hilang dalam insiden tembakan di Christchurch, New Zealand.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, tiga rakyat Malaysia disahkan cedera dalam insiden tersebut dan semuanya sedang menerima rawatan lanjut di hospital di sana.
"Seorang rakyat Malaysia masih hilang dan usaha untuk mengesannya masih berjalan. Dua pegawai dari Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington telah berada di sana.
ARTIKEL BERKAITAN: Haziq masih belum ditemui
"Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung (Hal Ehwal Pelbagai) dari Kementerian Luar akan ke sana pada petang ini untuk memberikan bantuan kepadan mangsa dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, dilaporkan, usaha mengesan anak salah seorang mangsa tembakan rambang, Mohd Tarmizi Shuib masih berjalan.
Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, isteri Mohd Tarmizi memaklumkan, Haziq, 17, hilang selepas serangan tersebut.
"Saya bercakap bersama suami Mohd Tarmizi, subuh tadi (waktu Malaysia). Haziq masih belum ditemui.
"Keluarganya tidak tahu dia di mana dan bagaimana keadaannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters untuk menyampaikan ucapan takziah kepada semua pihak terlibat.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan New Zealand dengan tindakan pantas memulihkan ketenteraman di kawasan terjejas dan menyediakan rawatan perubatan untuk mangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin menyelar kenyataan Senator Australia, Fraser Anning berhubung kes tembakan di New Zealand dan menganggap kenyataan beliau adalah kejam, tidak bertanggungjawab dan keterlaluan.
Menurutnya, meskipun kenyataan beliau tidak mencerminkan pandangan Kerajaan Australia namun ia mungkin menyebabkan lebih banyak jenayah terhadap umat Islam selepas ini.
"Kenyataannya juga menafikan kenyataan insiden tembakan di Christchurch adalah tindakan pengganas terhadap komuniti Muslim yang tidak bersalah di dalam tempat ibadat mereka.
"Ia juga menafikan realiti bahawa insiden itu adalah jenayah pembunuhan yang didorong oleh fanatik dan kebencian melampau kepada penduduk asing beragama Islam,” tegas beliau.