Seragamkan pendidikan, elak diskriminasi bandar, luar bandar

Iklan
Najmi (tengah) bersama Tunku Maziah (dua, kiri) dan Rozaini (dua, kanan) menyaksikan pelancaran IMPAK SPM 2021 oleh Tunku Puteri Intan Safinaz secara maya di Wisma Darul Aman. (Gambar kecil: Tunku Puteri Intan Safinaz)

ALOR SETAR - Keseragaman dalam pendidikan perlu dititik beratkan agar tiada diskriminasi perkongsian ilmu antara sekolah dalam bandar dan luar bandar.

Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, penyampaian sistem pendidikan tidak terkecuali mengikuti arus perkembangan dan ia perlu diadaptasikan dengan norma baharu.

Iklan
Iklan

Menurut Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) itu, YSB turut mengolah pendekatan bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac depan.

"Oleh kerana sesi persekolahan biasa terganggu selama dua tahun kerana wabak Covid-19, pelajar tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian.

Iklan

"Ada yang terjejas dan tidak mempunyai alat peranti untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) malah di beberapa kawasan, jaringan internet tidak stabil atau tiada jaringan internet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program Intervensi Meningkatkan Pencapaian Aspirasi Kecemerlangan (IMPAK) SPM 2021 di Wisma Darul Aman secara maya pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad; Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IMPAK, Tunku Maziah Tunku Mukhtar.

Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga penaung program IMPAK SPM berkata, program intervensi diyakini dapat meningkatkan pencapaian pelajar bagi menangani permasalahan tersebut.

"IMPAK SPM memberi nafas baharu kepada pelajar menerusi tuisyen dalam talian kepada 25,000 pelajar Tingkatan Lima melibatkan 203 buah sekolah menengah di Kedah tanpa sebarang koş.

"Program ini sememangnya membantu kerana guru-guru cemerlang menyediakan pelajaran semakan, soalan ujian serta petua dan panduan untuk mendapat markah tinggi merangkumi enam subjek teras. Saya berharap dapat melihat rekod bilangan pelajar lulus peperiksaan dengan cemerlang," ujarnya.

Dalam pada itu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut memaklumkan, YSB sebelum ini menubuhkan Projek Titian Bistari (PTB), iaitu kelas tambahan secara percuma di 24 buah sekolah rendah di luar bandar bagi subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris sejak 1999.

"Sehingga kini 53,940 pelajar telah mendapat manfaatnya. Alumni PTB YSB berjaya memperoleh kecemerlangan dalam pembelajaran dan mendapat tempat dalam kerjaya. Projek ini menerapkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam aktiviti sekolah serta menyediakan komputer dan tablet kepada sekolah PTB.

"Yayasan IMPAK berpusat di Petaling Jaya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing bermula tahun ini, bukan sahaja untuk pelajar Tingkatan Lima termasuk Tingkatan Empat.

"Program lain dalam perancangan adalah untuk pelajar sekolah rendah melengkapkan mereka dengan kemahiran digital, pengurusan kewangan, pembangunan keusahawanan serta belajar membaca dan menulis ayat al-Quran (IPaq),” jelasnya.

Sementara itu, Najmi berharap program seumpama itu dapat dipertingkatkan susulan kesan daripada Covid-19 menyebabkan pencapaian peperiksaan mengalami kemerosotan.

"Program IMPAK SPM memiliki pendekatan unik dan saya percaya akan beri impak untuk pacu pencapaian pendidikan di negeri ini, diharap ia dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar yang capaian internetnya agak terhad.

"Usaha Yayasan IMPAK perkenalkan program IPaq juga antara langkah baik menggunakan pendekatan baharu untuk menguasai pembelajaran al-Quran,” katanya.