PASIR GUDANG - Seramai 227 mangsa dirawat sebagai pesakit luar manakala 17 lagi dimasukan ke dalam wad sehingga jam 2 petang tadi susulan pencemaran bahan kimia berlaku di Sungai Kim Kim di sini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 3,976 kes telah direkodkan sejak 7 Mac lalu membabitkan hospital dan juga klinik di sekitar kawasan ini.
"Manakala seramai lapan orang mangsa masih dirawat di unit rawatan kecemasan (ICU) dan yang lebih mustahak tidak ada yang menerima bantuan pernafasan.
"Sehingga kini seramai 131 pesakit dimasukkan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) dan juga Hospital Sultanah Aminah (HSA) di mana 65 pesakit di HSI manakala HSA 66 pesakit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di pusat rawatan awal Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.
Tambahnya, pihaknya menyaksikan berlaku trend penurunan susulan jumlah kemas kini yang diperolehi sehingga petang ini.
"Kita sedang menyaksikan satu trend penurunan hari ini berbanding 13 hingga 15 Mac lalu.
"Ia satu trend yang baik meskipun proses pembersihan sedang berlaku," katanya lagi.