ALOR SETAR - Netizen diingatkan agar tidak menular sebarang berita yang belum sahih membabitkan mangsa tembakan yang cedera dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, semalam.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, penularan berita tidak benar seumpama itu mampu menjejaskan emosi keluarga mereka yang terlibat.
Menurutnya, setakat petang ini semua mangsa rakyat Malaysia yang cedera dalam keadaan stabil dan ditempatkan di hospital.
"Saya mahu menasihatkan rakyat Malaysia kalau boleh dapatkan maklumat yang tepat. Jangan sebarkan maklumat yang tidak benar, rujuklah Wisma Putra kerana kedutaan kita akan sentiasa mengemaskini perkembangan mangsa dari semasa ke semasa.
"Pagi tadi ada yang tular ada kematian di kalangan rakyat kita di sana dan sampai setakat ini berita itu tidak benar," katanya pada sidang media selepas melawat keluarga Mohd Tarmizi Shuib, 42 di Hutan Kampung, dekat sini.
Marzuki berkata, berita-berita sedemikian hanya akan menjejaskan emosi keluarga mangsa yang tertanya-tanya dengan penularan berita yang tidak benar.
"Jangan tambah beban keluarga-keluarga mangsa dengan berita begitu dan kalau boleh rujuk kami terlebih dahulu," katanya.
Turut sama dalam kunjungan tersebut adalah Exco Kedah, Halimaton Shaadiah Saad.
Sebelum itu, keluarga Mohd Tarmizi merayu kepada orang ramai menghentikan penyebaran berita palsu kematiannya.
Kakak mangsa, Zarina Shuib, 53, berkata, dia berharap orang awam menghormati perasaan keluarga Tarmizi yang bimbang mengenai keadaan adik lelakinya itu.
Menurutnya, mereka berharap orang awam tidak menyebarkan maklumat tidak tepat seperti kematian adik bongsunya hingga menguris perasaan mereka.