SHAH ALAM - Hujan lebat berselang seli pada Isnin petang menimbulkan panik kepada penduduk di Jalan Tokoh 25/28 Taman Sri Muda, di Seksyen 25 di sini kerana bimbang akan terjebak dengan banjir sekali lagi.
Paras air di beberapa batang jalan juga dilaporkan meningkat mendadak melebihi 0.3 meter sekitar jam 4 petang malah penduduk sedang bekerja bergegas pulang apabila mendapat maklumat menerusi media sosial.
Keadaan bertambah cemas apabila loceng amaran juga didakwa berbunyi menyebabkan ada penduduk mula mengemas pakaian untuk keluar dari rumah kerana bimbang terperangkap dalam situasi tidak dijangka.
Pasangan suami isteri, Hendi Ramu, 55, dan Nallmah Subramaniam, 56, ketika ditemui berkata, perasaan gemuruh yang dirasainya bagaimanapun hanya seketika kerana air naik secara mendadak surut sejam selepas itu.
Menceritakan detik cemas tersebut, mereka berkata, mereka berdua segera pulang selepas mendapat tahu mengenai perkara itu daripada anak mereka yang berada di rumah ketika hujan lebat melanda sekitar jam 4 petang.
"Memang bila air naik sahaja, kami di sini rasa cemas dan trauma sebab teringat peristiwa banjir yang baru sebulan lepas berlaku malah anak beritahu masa hujan lebat terdengar bunyi loceng," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Sementara itu, jirannya, Irene Ho, 64, berkata, berikutan banjir besar bukan lalu, setiap kali cuaca mendung dan hujan, dia akan berjaga-jaga untuk memastikan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada keluarganya.
Menurutnya, dalam kejadian banjir besar berkenaan semua peralatan dalam rumah rosak yang sehingga kini masih belum lagi mampu untuk digantikan semula walaupun sambutan Tahun Baharu Cina hanya beberapa hari sahaja lagi.
"Saya sudah trauma dengan banjir, kalau hujan terus lebat saya sudah siap sedia mahu 'lari', pakaian pun saya sudah letak dalam beg,” katanya sambil memberitahu masih terkenang kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini.
Sementara itu, Tinjauan Sinar Harian sekitar Taman Sri Muda kira-kira jam 5 hingga 6 petang mendapati keadaan air mulai surut di beberapa batang jalan termasuk di Jalan Tokoh 25/28 Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.
Malah anggota Skuad Pantas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), anggota bomba dan penyelamat serta polis turut kelihatan membuat rondaan di kawasan berkenaan selepas mendapat aduan awam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan air mulai surut dalam tempoh singkat.
Dalam pada itu, Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau juga dilihat berada di kawasan yang dinaiki air sekitar Taman Sri Muda.