Guru Kemas dibenar berpolitik, kembalikan amalan lama: Mahdzir

Iklan
Mahdzir (kanan) menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Jambatan Pemberian, Kuala Krai, pada Isnin.

GUA MUSANG - Kebenaran kepada guru tadika daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terlibat dalam politik di negara ini mengembalikan semula amalan itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebenaran itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ia sudah diamalkan sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Guru dan penyelia Kemas bukan kategori pangkat gred DG dan dibolehkan berpolitik seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Sejak dahulu guru Kemas tidak ada masalah untuk terlibat dalam politik, tetapi pada zaman Pakatan Harapan (PH) satu pekeliling telah dikeluarkan.

Iklan

"Sekarang bukan zaman PH, macam dahulu. Jadi kembali keadaan asal," katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), di sini, pada Isnin.

Beliau sebelum itu turun padang bagi merasmikan Jambatan Pemberian Kuala Krai yang memberi manfaat kepada 2,000 penduduk di Kampung Pemberian, Kuala Krai.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Kesedar, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Mahdzir juga Naib Presiden UMNO berkata demikian bagi mengulas pengumuman Ismail pada Sabtu lalu yang membenarkan guru Kemas terlibat dalam politik.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, isu pembabitan guru dalam politik bukanlah perkara baharu, namun berbeza ketika pemerintahan PH.

"Zaman PH, pekeliling menghentikan terus pelibatan mereka dalam politik.

"Jika sesiapa yang pegang jawatan akan diambil tindakan, sedangkan dahulu tidak ada macam itu. Tetapi sekarang dibolehkan kepada semua parti,” katanya.

Tegas beliau, kebenaran itu bagaimanapun berbeza dengan guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mempunyai struktur perjawatan membabitkan peringkat pengurusan.

"Bagi gred DG54, berjawatan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), pengetua sekolah atau mereka yang bertugas di Jabatan Pendidikan negeri akan ada masalah kalau nak pegang jawatan dalam politik sebab sudah ada jawatan yang disandang dalam pentadbiran,” katanya.