IPOH - Pemimpin PKR di semua peringkat di Perak diingatkan memberi fokus kepada permasalahan rakyat untuk diselesaikan segera.
Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran berkata, fail-fail berkaitan permasalahan rakyat perlu diutamakan berbanding fail-fail tender untuk dimohon kepada kerajaan.
Iklan
Iklan
Katanya, dalam masa sama menteri Kabinet juga tidak boleh mengabaikan rungutan rakyat dalam pelbagai hal terutama berkaitan kenaikan kos sara hidup dan harga barang.
"Kita kena ambil tahu masalah rakyat dan bawa ke pengetahuan kerajaan. Jangan nak kira hantar fail-fail tender sahaja. Rakyat sedang memerhatikan kita.
"Integriti kita perlu dijaga sepertimana kita dalam pembangkang dulu, begitulah juga semasa dalam kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bersama Pimpinan PKR Perak di Hotel Tower Regency, di sini.
Tinagaran berkata, semua menteri yang dilantik perlu sedar bahawa kuasa yang ada pada mereka bukanlah satu rahmat tetapi tanggungjawab.
Katanya, semua pemimpin perlu kembali mengingati perjuangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup mengenepikan kesengsaraan dan kezaliman ke atas dirinya untuk membentuk kerajaan sekali us menyelamatkan rakyat daripada cengkaman UMNO dan BN.