Pengunjung borong nota My#QuranTime

Iklan
Pengunjung juga boleh mendapatkan variasi al-Quran pelbagai saiz dengan harga yang murah dan berpatutan. (Gambar kecil: Ahmad Yani)

SHAH ALAM - Orang ramai mengambil peluang memborong nota My#QuranTime yang dijual di Jualan Gudang Karangkraf 2022 yang diadakan di Kompleks Karangkraf.

Pengunjung, Rahimah Abdullah, 69, berkata, setelah mengetahui tentang jualan gudang diadakan di Kompleks Karangkraf, dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan koleksi nota My#QuranTime memandangkan tawaran harganya yang murah dan berpatutan.

Iklan
Iklan

"Sewaktu hari pertama saya datang ke sini pada Sabtu, saya dapat tahu harga ahli bagi nota My#QuranTime hanyalah RM25 sahaja. Saya terus hebahkan kepada rakan dan kumpulan jemaah surau melalui aplikasi WhatsApp tentang tawaran ini.

"Kemudian saya kumpulkan tempahan dan beli di jualan gudang ini bagi pihak mereka. Hari ini sahaja, saya sudah dapatkan 32 naskhah nota juzuk 12 dan satu naskhah untuk juzuk 10.

Iklan

"Selain itu saya juga beli al-Quran bersaiz besar dan panduan buku solat kanak-kanak untuk diberikan kepada anak serta cucu,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagi seorang lagi pengunjung, Hasnah Talib, 56, berkata, beliau sememangnya menunggu Jualan Gudang Karangkraf semata-mata untuk mendapatkan nota My#QuranTime.

Iklan

Pengikut setia rancangan My#QuranTime yang disiarkan di TV Alhijrah itu berkata, dia sudah mendapatkan lima set buku tersebut sebagai bahan bacaan untuk keluarganya di rumah.

"Memang tujuan saya datang untuk mendapatkan buku ini, lagi pun agak sukar kalau nak salin isi-isi tadabbur ustaz melalui televisyen sahaja. Nota ini sangat membantu saya memahami lebih mendalam tentang al-Quran,” jelasnya.

Pelbagai jenis al-Quran dengan tawaran harga yang menarik menanti pengunjung di Jualan Gudang Karangkraf 2022. (Gambar kecil: Rahimah, Noor Halila)

Menurut Noor Halila Ekhwan, 61, pula, dia datang ke jualan gudang tersebut bagi melengkapkan koleksi nota My#QuranTime sedia ada.

"Saya dapatkan tiga naskhah iaitu juzuk 10, 11 dan 12 sebab juzuk lain saya memang dah beli sebelum ini. Saya ingin mendalami isi-isi al-Quran, jadi sangat bagus untuk kita dapatkannya.

"Sebelum ini saya pernah datang ke jualan ini dua tahun lepas. Apabila dapat tahu hari ini ada jualan gudang, saya teruja untuk datang disebabkan harga menarik yang ditawarkan di sini.

"Buku ini sangat membantu saya untuk memahami inti pati al-Quran. Memang sangat digalakkan orang ramai datang dan dapatkan nota My#QuranTime semasa jualan gudang ini sebab harga murah berbanding biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Agama dan Penerbitan Al-Quran, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, untuk jualan gudang kali ini, nota My#QuranTime adalah salah satu produk yang diminati dan dicari-cari oleh pengunjung.

Ujar beliau, ia disebabkan pengikut rancangan My#QuranTime semakin mendapat tempat di hati masyarakat dan sudah ada ramai pengikutnya sendiri.

"Nota ini terlahir untuk memudahkan orang yang memang dah ikuti program My#QuranTime untuk semak semula sebab kalau menonton di televisyen, ada kemungkinan dia tidak sempat nak ikuti semua.

"Kita juga sediakan kotak untuk menyimpan buku-buku ini sebagai pakej. Sekarang dijualan gudang, kita jual hanya RM140 untuk lima buku berserta kotak, tapi kalau nak beli kotak sahaja pun boleh, RM17 sahaja.

"Setakat Isnin, sambutan amat menggalakkan sebab kita ada variasi juzuk yang pengunjung boleh pilih. Banyak juga yang beli secara borong dan ada juga yang beli dan jadikannya sebagai hadiah.

"Ini waktu terbaik untuk memiliki buku ini kerana mereka boleh pilih mana-mana naskhah yang ingin dibeli sebab ia dibahagikan mengikut juzuk,” ujarnya.

Jualan Gudang Karangkraf 2022 berlangsung dari 21 Januari hingga 30 Januari depan dan dibuka dari jam 9 pagi hingga 7 malam pada Isnin hingga Jumaat manakala bagi Sabtu dan Ahad, ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 9 malam.