KEBEBASAN bersuara adalah tertakluk kepada Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia.
Setiap warganegara diberi kebebasan dalam berkongsi pendapat dan buah fikiran asalkan tidak disentuh isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan huru-hara.
Kebebasan hak bersuara di Malaysia juga dikawal dengan beberapa undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dengan kerancakan digitalisasi dan kemodenan yang menderas, kebebasan bersuara kini menjadi satu perkara yang bukan lagi asing terutama di media sosial.
Sana-sini netizen bersuara, melontarkan apa yang terbuku di hati demi sekelumit kepuasan setelah meluahkannya.
Namun, jalan ceritanya agak lain sedikit apabila melibatkan pihak-pihak tertentu.
Sebagai contoh, isu yang paling hangat diperkatakan sejak penghujung tahun 2021 hingga kini iaitu kes pemilikan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Kita semua sedia maklum dengan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang diadakan pada 22 Januari lalu yang disertai ramai pihak dari pelbagai latar belakang yang berbeza.
Pun begitu, perhimpunan yang seharusnya dijadikan medan untuk bersuara dilihat kurang disenangi segelintir pihak sehingga menyaksikan penutupan beberapa jalan utama di sekitar Kuala Lumpur yang sepatutnya menjadi lokasi awal perhimpunan berkenaan sebelum ditukar ke LRT Bangsar.
Tidak cukup dengan itu, beberapa individu yang dilihat lantang bersuara di media sosial mengenai isu yang sama turut dipanggil polis untuk siasatan.
Dalam perkembangan lain pula, Fahmi Reza, seorang pereka grafik dan aktivis terkenal di media sosial turut berdepan dengan pelbagai situasi getir sepanjang menjadikan seni sebagai senjata untuk bersuara.
Sebagai orang yang bertanggungjawab dengan kewujudan karikatur badut yang diadaptasi dari kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1MDB sekitar enam tahun lalu, Fahmi berdepan dengan pelbagai rintangan.
Bukan setakat disiasat dan diambil keterangan malah lebih teruk apabila beliau turut ditangkap dan didakwa oleh mahkamah pada ketika itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terbaharu, Fahmi dipanggil untuk disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di bawah Akta Hasutan 1948 kerana telah mewujudkan sebuah lakaran yang dipercayai diinspirasikan dari kejadian banjir yang melanda Pahang tahun lepas.
Bukankah segala tindak-tanduk pihak berkuasa ini dengan jelas mampu menimbulkan rasa takut kepada mana-mana individu untuk tampil bersuara sekiranya menyaksikan atau mempunyai bukti kukuh untuk sebarang salah-laku yang berlaku? Ini juga secara tidak langsung menunjukkan betapa sukarnya perjalanan yang perlu ditempuh sekiranya mana-mana pihak ingin menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara.
Banyak lagi sebenarnya cerita yang serba-serbi melihatkan seolah-olah kebebasan bersuara itu hanya sekadar akta untuk memenuhi helaian dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai seorang rakyat biasa, mungkin media sosial menjadi medium paling mudah untuk seseorang itu bersuara dalam apa jua konteks dan kaedah, namun, sekiranya apa yang cuba diterjemahkan sering kali diambil tindakan, ia hanya akan menemui pengakhiran yang buntu dan sia-sia.
Benar, kebebasan bersuara itu diangkat dan diraikan semua pihak termasuk pemimpin atau pemerintah atas alasan pendemokrasian yang menjadi amalan pemerintahan.
Tetapi, apalah maknanya segala suara yang dilontarkan kalau hanya akan bertemu Sang Saka biru sebagai penutup buku? Adakah laungan ‘rakyat bebas bersuara’ hanya sekadar sandiwara politikus demi meraih secebis pangkah? Atau mungkinkah akta yang sedia ada kini perlu lebih diteliti dan diperbaharui agar setiap suara yang dialunkan tak kira sama ada di kaki lima mahupun di media sosial dijadikan sebagai senjata untuk melawan musuh sebenar? Hentikan intimidasi terhadap rakyat sendiri.
*Muhammad Hazwan Mokhtar ialah Penerbit Berita dan Program Sinar Harian