PEKAN - Sebanyak lima hektar hutan dan belukar berhampiran ladang nenas di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Serai di sini terbakar sejak enam hari lalu.
Namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal kebakaran namun keadaan masih berjerebu ekoran berlaku lagi kebakaran di beberapa kawasan berhampiran.
Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Ismail Abdul Latif berkata, kebakaran tersebut menyebabkan jerebu di sekitar kawasan Peramu Jaya dan kampung di sekitarnya semakin tebal dan penduduk terpaksa menghidu udara tercemar yang diakibatkan oleh kebakaran hutan tersebut.
Menurutnya, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kebakaran api hutan di Kampung Permatang Nangka, Pulau Serai pada 11 Mac lalu sebelum operasi memadam kebakaran dijalankan.
"Keadaan yang semakin serius menyebabkan Pos Kawalan Bomba dibuka semalam dan seramai 45 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu dikerahkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.
"Bomba giat berusaha mengawal api yang semakin merebak akibat cuaca yang yamg panas dan kering selain dibantu oleh tiupan angin kencang yang memarakkan lagi api.
"Kita juga mengesan api yang merebak ke kawasan hutan sudah menghampiri kawasan rumah penduduk di sini akibat angin kuat yang membawa sepihan kayu yang masih mempunyai bara api,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Ismail berkata, pihak bomba kini fokus melakukan pemadaman di sekitar kawasan tiga institusi pendidikan (SBP Integrasi Tun Adul Razak, MRSM Tun Abdul Razak dan SK Pulau Serai) serta rumah penduduk.
Menurutnya, pihaknya menggunakan kaedah 'fire break' dan pemadaman secara terus digunakan bagi memastikan operasi dan pemadaman berjalan lancar dan pantas.
Tambahnya, operasi pemadaman api bergantung kepada punca air dari pili bomba dan parit berhampiran dengan menggunakan dua buah jentera jenis LFRT, sebuah water tanker, sebuah pacuan empat roda serta dua buah JCB milik MDP dan JKR Pekan.
"Kita bertindak mengikut struktur pengawalan dan pemadaman yang sistematik serta tersusun bagi membendung tompokan api yang boleh menyebabkan keadaan lebih tidak terkawal.
"Pegawai dan anggota bertugas juga terlibat dengan shift selama 24 jam berbanding 12 jam pada awal operasi dilakukan," katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, bomba tidak dapat mengklasifikasikan kebakaran hutan tersebut sehingga operasi yang masih belum dapat dijangka bila akan berakhir ini selesai sepenuhnya.
"Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran yang berlaku dan tumpuan sepenuhnya kini diberikan terhadap usaha memadam tompokan api yang semakin merebak.
"Operasi ini memerlukan usaha yang lebih di mana kebakaran hutan yang berlaku di sini semakin mengancam kawasan sekitarnya seperti bangunan sekolah, rumah dan kawasan industri.
"Kawasan-kawasan yang mengalami kebakaran ini akan terus dipantau dan saya meminta agar orang ramai lebih berhati-hati ketika melakukan pembakaran khususnya di kawasan terbuka pada musim panas dan berangin yang melanda kini,” katanya.