Mancini panggil semula Balotelli

Iklan
Mario Balotelli

MARIO Balotelli dinamakan dalam skuad Itali buat kali pertama sejak 2018, ketika penyerang Adana Demirspor itu menyertai tujuh pemain baharu dalam kem latihan 35 pemain Roberto Mancini.

Balotelli, yang pernah bersama jurulatih Azzurri, Mancini pada awal kariernya di Inter Milan dan Manchester City, tidak beraksi untuk pasukan kebangsaan sejak September 2018.

Iklan
Iklan

Namun, pemain berusia 31 tahun itu mendapat panggilan semula untuk kem latihan selama tiga hari minggu ini selepas menjaringkan lapan gol dalam 18 perlawanan liga untuk memacu sensasi Adana Demirspor ke tempat keempat dalam Super Lig Turki.

Balotelli sebelum ini mencipta impak aksi luar biasa Itali ke final Euro 2012, apabila menjaringkan dua gol dan menanggalkan jersinya ketika kemenangan 2-1 terhadap Jerman dalam perlawanan separuh akhir.

Iklan

Dia menjaringkan 14 gol dalam 36 pernampilan bersama Itali, tetapi hanya memperoleh tiga caps sejak Piala Dunia 2014.

Untuk rekod, penyerang utama Itali, Ciro Immobile menjaringkan dua gol semasa kempen kejayaan Euro 2020 musim panas lalu.

Iklan

Namun persembahan pemain Lazio itu bersama Azzurri tidak selalu mengagumkan, sekali gus membawa kepada perdebatan berpanjangan dalam komuniti sukan negara tersebut sama ada wujud keperluan membawa Balotelli kembali menyertai Itali.

Dalam pada itu, pemilihan para pemain ini menjadi pentas terbaik Mancini membuat persediaan rapi sebelum separuh akhir play-off Piala Dunia Qatar 2022 menentang Macedonia Utara, pada 24 Mac.

Pemenang perlawanan itu akan menentang Portugal atau Turki untuk perebutan tempat di Qatar 2022.

Selain itu, Joao Pedro kelahiran Brazil dari Cagliari dan Luiz Felipe dari Lazio mendapat panggilan pertama masing-masing.

Mereka akan disertai lima pemain muda, penjaga gol Cremon, Marco Carnesecchi, pertahanan Atalanta Giorgio Scalvini dan pemain tengah Davide Frattesi, Samuele Ricci dan Nicolo Fagioli masing-masing dari Sassuolo, Empoli dan Cremonese.