Jawatankuasa Pilihan Khas teliti 453 enakmen negeri Perak

Iklan
Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak akan teliti sebanyak 453 enakmen negeri sama ada perlukan pindaan atau pemansuhan berdasarkan keperluan semasa. - Foto fail Bernama
IPOH - Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak akan meneliti sebanyak 453 enakmen negeri sama ada memerlukan pindaan atau pemansuhan berdasarkan keperluan semasa.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 260 'enakmen ibu' dan 193 enakmen pindaan tidak termasuk undang-undang subsidiari.

Menurutnya, semakan kepada enakmen-enakmen negeri bertujuan bagi membantu memajukan Perak dan menjaga kebajikan rakyat selaras dengan hasrat penubuhannya.

"Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan mengambil tindakan atau ketetapan, sama ada enakmen tersebut perlu dibawa ke Dewan Negeri Perak atau dipinda atau dimansuhkan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan kepentingan negeri.

"Pada Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2022 membincangkan perincian terma rujukan Jawatankuasa Pilihan Khas ini dan satu ketetapan tatacara semakan untuk enakmen-enakmen negeri Perak telah pun diperhalusi," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, sebagai permulaan, jawatankuasa tersebut mengorak langkah pertama dengan mengkaji Enakmen Pengurusan Pesisir Pantai Perak 2016.

Menurutnya, pada mesyuarat itu juga, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) turut hadir untuk menyampaikan taklimat berkaitan enakmen tersebut.

Jelasnya, Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut baharu sahaja ditubuhkan dengan kelulusan sebulat suara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 pada 20 Disember 2021.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut juga merupakan yang pertama seumpamanya diwujudkan oleh DUN bagi memperkasakan lagi amalan demokrasi berparlimen di negeri ini.

Beliau berkata, keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada Speaker DUN Perak sebagai pengerusi manakala Timbalan Speaker DUN pula sebagai timbalan pengerusi serta mempunyai lapan orang ahli tetap yang terdiri daripada empat orang ADUN kerajaan dan empat orang ADUN pembangkang.

"Seramai enam orang ahli yang telah hadir pada Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2022 ini. Kedua belah pihak telah memberikan komitmen dan kerjasama yang amat memberansangkan. Selain itu, Penasihat Undang-undang Negeri Perak juga turut hadir sebagai ahli jemputan.

"Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-enakmen Negeri Perak diharapkan agar terus menjadi tunjang penambahbaikan setiap enakmen-enakmen negeri Perak Darul Ridzuan," katanya.

TAMAT