KELAB yang mahu mendapatkan khidmat penyerang Serbia, Dusan Vlahovic perlu menyediakan lebih daripada 70 juta euro (RM331.86 juta).
Selain itu pengarah sukan kelab Serie A tersebut, Daniele Prade menegaskan, pasukan yang berminat mendapatkan khidmat peledak berusia 21 tahun berkenaan juga perlu menyediakan wang pendahuluan.
"Vlahovic memiliki nilai yang signifikan, lebih 70 juta euro. Tanpa pemain sebagai ganti atau bayaran mengikut tahun," kata Prade.
Kontrak bekas pemain Partizan Belgrade yang menyertai kelab Florence pada 2018 dijangka berakhir pada Jun 2023 dan pemilik kelab Rocco Commisso pada Oktober tahun lalu mengumumkan bahawa Vlahov menolak tawaran pembaharuan kontrak bersama kelab itu.
Pemain itu sebelum ini dilaporkan menarik minat beberapa gergasi Eropah seperti Juventus dan kelab sensasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal selepas menjaringkan 17 gol musim ini, menjadikannya penjaring terbanyak liga bersama peledak Lazio, Ciro Immobile.
Bagaimanapun, Prade mendedahkan bahawa bidaan diterima kelab setakat bulan ini tidak ke mana-mana kerana kekurangan komunikasi daripada ejen pemain Serbia itu.
"Kami menerima beberapa tawaran sangat besar, tetapi tidak pernah mendapat maklum balas daripada wakilnya.
"Apa-apa pun, kami sentiasa terbuka dalam isu ini. Sejujurnya, saya katakan ini kerana kami mahu memahami apa yang dia mahu dan apa yang ejennya mahu. Kami juga terbuka untuk duduk semula untuk membincangkan pembaharuan kontrak.
"Kami adalah kelab dengan perolehan tahunan sebanyak 75 juta euro setahun, jadi kami tidak boleh kehilangan Dusan secara percuma," katanya.