JITRA - Suruhanjaya Koperasi Malaysia mempergiatkan usaha pertambahan ahli dalam skala yang lebih besar melalui pembangunan koperasi baharu.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh berkata, usaha ini adalah sebahagian strategi mereka untuk melahirkan lebih ramai ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat.
Katanya, secara purata SKM menerima pertambahan ahli kira-kira 15,000 orang setahun.
"Setakat ini juga SKM bergerak aktif dengan jumlah koperasi sebanyak 14,245 dan ahli seramai 6.5 juta seluruh Malaysia," katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan Mahsuri dan Hotel Darulaman di sini.
Menurutnya, SKM juga sedang menjalani proses memperkemaskan koperasi yang ada untuk memantapkan operasi mereka.
"Kami juga bercadang menggabungkan koperasi menengah yang mana perolehannya mencecah RM5 juta setahun.
"Ini supaya kita dapat melonjakkan koperasi ini supaya mereka dapat terlibat dalam perniagaan berskala besar di masa hadapan," katanya.
Hadir sama, Pengerusi Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad, Ahmad Rosli Din.