KUALA LUMPUR - Seramai 5,200 orang termasuk 76 remaja disyaki penagih dan tokan dadah ditahan dalam Op Tapis Khas di seluruh negara sejak dari Jumaat hingga Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi bermula dari 21 hingga 23 Januari itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 212.6 kilogram dan 1,199.2 liter yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta.
"Seramai 4,987 lelaki dan 213 wanita ditahan. Daripada jumlah itu seramai dua remaja berusia 13 tahun dan 74 remaja berusia 14 hingga 18 tahun ditahan.
"Pada masa sama dalam operasi ini, sejumlah 367 sarang penagih dadah digempur dan dimusnahkan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada Selasa.
Ayob Khan berkata, selain itu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu pihaknya menyita pelbagai aset sindiket dianggarkan bernilai RM2.3 juta.
"Polis turut merampas sepucuk pistol revolver.38 serta tiga butir peluru di Perak dan dua laras senapang buatan sendiri serta empat butir peluru di Sarawak dan Negeri Sembilan," katanya.
Tambah Ayob Khan, kesemua suspek yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 39C, 12(2), 6 (Akta Dadah Berbahaya1952), Seksyen 30(3) Akta Racun, dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
"Hasil perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bersetuju agar Op Tapis Khas dilancarkan sebulan sekali di semua kontinjen di samping program Jihad Dadah supaya impak dalam membanteras ancaman dadah di kalangan masyarakat lebih berkesan," katanya.