PM mahu warga JPM jujur, integriti

Iklan
PUTRAJAYA - Ismail Sabri Yaakob menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. - Foto: bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) agar bekerja dengan jujur dan berintegriti, serta mempergiatkan usaha membantu mempromosi konsep Keluarga Malaysia.

Dengan hampir semua dasar negara tertumpu pada JPM, Ismail Sabri pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Warga JPM di sini hari ini berkata JPM perlu memberikan contoh kepada kementerian lain dan rakyat, dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, segala isu berkaitan negara terletak di bawah JPM seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), keselamatan negara dan pengurusan bencana, dan walaupun terdapat kementerian lain yang mengendalikannya, namun punca kuasanya terletak di bawah JPM.

"Semua mata tertumpu pada JPM, kerana hampir semua dasar negara tertumpu pada JPM...sebab itu gerak kerja JPM, kita perlu tunjuk contoh terbaik kepada kementerian lain dan rakyat,” katanya pada pertemuan bersemuka julung kalinya dengan warga JPM, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021.

Iklan

Ismail Sabri berkata, kerajaan telah mewujudkan jawatankuasa khas memantau pelaksanaan Bajet 2022 dan RMK12, khusus untuk memastikan segala perancangan kerajaan berjalan lancar.

Beliau dalam pada itu mahu JPM di hadapan dalam mempromosikan konsep Keluarga Malaysia, serta mempertingkatkan usaha promosinya.

Konsep Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, diperkenalkan Ismail Sabri, menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos 2021.

Iklan

Ismail Sabri berkata Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia akan diadakan di peringkat negeri bermula bulan hadapan, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat terutama berkaitan kehadiran pengunjung.

Menurutnya, Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Disember tahun lepas, menerima sambutan luar jangka sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

"Kita akan adakan di negeri-negeri dan akan ambil iktibar apa yang berlaku di KLCC, kerana kehadiran luar kawalan. Kita akan pastikan jelajah di negeri-negeri dikendalikan dengan baik terutama kehadiran,” katanya. -Bernama