KLANG - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berjaya mengumpul dana sebanyak RM742,000 menerusi program kayuhan amal 'Mahabbah Cycling 2019' yang dianjurkan bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Kampung Sementa, Kapar, hari ini.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, kayuhan amal bertemakan 'Gaya Hidup Sihat Untuk Buah Pinggang Sihat' itu diadakan bersempena Hari Buah Pinggang Sedunia, sekali gus mengumpul dana bagi membiayai pembelian mesin-mesin hemodialisis yang baharu di enam cawangan Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
"Kita ada sebanyak 48 buah mesin hemodialisis yang ditempatkan di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS di negeri ini, namun sembilan daripadanya serta empat 'RO water' perlu ditukar kerana tempoh usianya sudah melebihi 10 tahun.
"Selain itu, ia juga sering mengalami kerosakan dan turut mengganggu proses rawatan bagi keseluruhan 270 orang pesakit," katanya memberitahu dana terkumpul adalah hasil sumbangan dari enam penaja antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN), Central Sugar Refinery (CSR), Lembaga Tabung Haji dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd.
Program kayuhan amal sejauh 12 kilometer bermula dari Masjid Al-Islah, Kampung Sementa itu disertai 500 peserta termasuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid serta ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi.
Selain kayuhan, Tengku Amir Shah berkenan menziarahi dua keluarga asnaf fakir miskin, Mohd Azhar Abdul Aziz, 50, Hasnul Hatimah Abu Bakar, 35 dan Fatimah Mohd, 69 yang turut menerima bantuan sebuah kerusi roda, wang tunai serta barang keperluan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata, sebanyak tujuh mesin hemodialisis diserahkan kepada YIDE bagi menggantikan mesin sedia ada yang rosak.
"Kita bukan saja menawarkan perkhidmatan kewangan kepada orang awam tapi turut komited menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuk bantuan kepada pesakit-pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan di enam cawangan Pusat Dialisis MAIS.
"BSN dimaklumkan rata-rata cawangan pusat dialisis itu mempunyai 12 mesin berkenaan yang menampung seramai 36 hingga 76 pesakit sebulan dan penggunaannya juga secara tiga syif setiap hari tanpa henti menyebabkan ia mudah rosak. Jadi dengan sumbangan mesin baharu ini diharap dapat bantu memudahkan pesakit menjalankan rawatan mereka," katanya.
Enam cawangan Pusat Dialisis MAIS adalah di Kapar, Sungai Besar, Kuala Selangor, Shah Alam, Bukit Jelutong dan Taman Melawati, Gombak.