PERSATUAN Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) memecat Timbalan Presiden dan Setiausahanya kerana didakwa melanggar beberapa peruntukkan dalam perlembagaan persatuan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, dua individu berkenaan didakwa melanggar aturan perlembagaan Fasal 18 (i) dan Fasal 19.4.
Menurutnya, mereka juga didakwa terlibat dalam konspirasi dengan beberapa Persatuan Sukan Boksing Daerah bagi merancang rampasan kuasa secara tidak sah.
"Timbalan Presiden dan Setiausaha bersama Persatuan Sukan Boksing (PSB) Parlimen Rantau Panjang dan PSB Daerah Bachok bertindak sebagai perancang utama dalam melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan pada 26 Disember 2021 yang secara jelas telah melanggar aturan Perlembagaan PSBNK.
"Kedua-dua persatuan ini adalah merupakan ahli gabungan yang gagal menjelaskan yuran tahunan keahlian yang mana berdasarkan Perlembagaan di fasal 7, ahli yang berkenaan tidak boleh menghadiri Mesyuarat Agung PSBNK," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, kegagalan itu menyebabkan penyertaan kedua-kedua persatuan berkenaan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PSBNK 2021 pada 11 Disember lalu dan perwakilannya juga tiada sebarang hak berdasarkan Perlembagaan di fasal 10 iaitu menyertai, mengundi dan diundi.
"Oleh sebab itu, jawatankuasa tatatertib telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua persatuan tersebut dengan hukuman penggantungan keahlian untuk tempoh empat tahun dan dilarang daripada mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti berkaitan sukan boksing di mana-mana daerah dan negeri Kelantan.
"Pihak kami lihat tindakan ini didakwa dirancang oleh mereka dengan niat tidak berapa elok untuk merosakkan nama baik dan reputasi persatuan," katanya.
Beliau berkata, Jawatankuasa Tatatertib PSBNK telah menghantar notis tunjuk sebab kepada mereka yang terlibat untuk menjawab pertuduhan dan dakwaan yang dikemukakan dalam tempoh yang dikehendaki, namun gagal sehingga menyebabkan tindakan hukuman berdasarkan fasal 13 perlembagaan PSBNK terpaksa diguna pakai untuk hukuman.