KUALA LUMPUR - Seorang pemandu e-hailing menempuh detik mencemaskan apabila ditikam serta disamun seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Sentul Pasar di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa seorang lelaki berumur 47 tahun telah mengambil suspek di Putrajaya menerusi tempahan dibuat menggunakan sebuah aplikasi dalam talian.
"Setelah sampai di Sentul Pasar, mangsa beritahu jumlah tambang yang perlu dibayar namun suspek meminta akaun bank milik mangsa kerana mahu membuat pembayaran secara dalam talian.
"Semasa mangsa sedang mencari nombor akaun bank miliknya suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan objek tajam di bahagian leher," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, suspek juga menarik mangsa keluar dari kenderaan dan melarikan kereta jenis Proton Saga warna kelabu serta beberapa barangan peribadi milik mangsa di dalam kereta tersebut," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut.
"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Eng Lai berkata, maklumat yang diperoleh pihak polis kemudiannya berjaya memberkas suspek kejadian pada Selasa.
"Suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 23 tahun berjaya diberkas kira-kira jam 12 tengah hari.
"Polis turut merampas kereta yang dilarikan dan menemui beberapa barangan termasuk sebilah pisau dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa semasa kejadian," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.