SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan keperluan untuk Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022 meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra), Malaysia turut menekankan keperluan untuk mengadakan dialog politik di antara semua pihak yang berkaitan demi kepentingan rakyat Myanmar.
Ismail Sabri turut menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint.
"Selain itu, Malaysia menggesa untuk meneruskan bantuan kemanusiaan melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre) dengan sokongan Negara-negara Anggota ASEAN dan rakan- rakan luar ASEAN,” katanya pada Selasa.
Perkara itu dibangkitkan Ismail Sabri semasa satu persidangan video antara Perdana Menteri dan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen.
Dalam masa sama, Ismail Sabri sekali lagi menyatakan pendirian Malaysia agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan dalam usaha mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar.
"Dalam hal ini, Malaysia menyokong pelantikan Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas yang baharu,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa Malaysia kekal komited dan menyokong usaha ASEAN ke arah menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
Dalam masa sama, Malaysia menegaskan bahawa pendirian kekal tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).
"Ia berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN,” ujarnya.
Ismail Sabri juga berpandangan bahawa cadangan langkah-langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dan Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN.
Tambahnya, Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera.
"Perdana Menteri turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap Kepengerusian Kemboja dan inisiatif-inisiatif untuk terus membangunkan Kominiti ASEAN dan memajukan ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.