KUALA LUMPUR - Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) semakin baik dan menunjukkan peningkatan.
Anaknya, Datin Paduka Marina Mahathir dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, selera makan Ahli Parlimen Langkawi itu juga bertambah baik dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisi beliau di IJN.
"Tun Dr Mahathir juga diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan oleh begitu ramai pihak termasuk pemimpin-pemimpin negara asing serta orang ramai.
"Tun Dr Mahathir berserta keluarga berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih. Beliau juga memohon agar orang ramai tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya,” katanya.
Jelas Marina, Dr Mahathir akan terus mendapatkan rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan dan buat masa ini, pihak IJN masih tidak membenarkan pelawat selain dari keluarga terdekat.
Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berada di Rawatan Rapi Koronari, IJN dan berada di bawah pemantauan rapat oleh pakar perubatan di situ.
Negarawan itu dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu bagi menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar pada 13 Januari.
Pada 16 Disember tahun lalu, beliau dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember.