SELEPAS hampir setahun tergendala akibat penularan Covid-19, Kejohanan Kuda Merah Muay Thai Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal berlangsung dari 25 hingga 27 Februari ini.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu merupakan anjuran Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan KWP.
Pengerusi teknikal kejohanan, Rosli Yaacob berkata, berbeza dengan tahun sebelumnya, kejohanan edisi kali ke-62 ini tidak melibatkan mana-mana peserta antarabangsa.
Katanya, saingan kali ini membabitkan peninju tempatan yang terdiri daripada 80 peratus peserta Lembah Klang manakala selebihnya dari Kelantan, Pahang Kedah dan Melaka.
"Seramai 12 peninju akan beraksi pada malam pertama kedua dan ketiga. Beberapa tali pinggang menjadi rebutan antaranya Tali Pinggang Menteri Wilayah, Tali Pinggang Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Tali Pinggang Sinar Harian
"Orang ramai terutama peminat sukan ini dijemput hadir dan boleh mendapatkan tiket tersebut di Facebook Muay Thai Kuda Merah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Pada kejohanan edisi lalu, peninju Kelab Kuda Merah PDRM, Nik Muhammad Arif Nik Kahar berjaya merangkul tali pinggang Menteri Wilayah.
Selain tali pinggang Menteri Wilayah, turut dipertandingkan adalah tali pinggang Sinar Harian, tali pinggang Majlis Sukan Wilayah dan tali pinggang Datuk Bandar.
Dalam pada itu Rosli berkata, kejohanan kali ini juga sebagai persiapan kepada atlet Muay Thai bagi menghadapi Sukan Sea Vietnam Mei ini dan Sukan Malaysia (Sukma).
"Dalam kejohanan ini, atlet terbabit bakal berdepan saingan hebat daripada peninju-peninju PDRM," katanya.