JOHOR BAHRU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih tegas dalam pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lebih adil, telus serta berintegriti.
Ketua Armada Bersatu Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, langkah itu perlu diambil agar pengundi lebih yakin bahawa PRN Johor dilaksanakan mengikut semua peraturan dan undang-undang berkaitan.
Iklan
Iklan
"Kita melihat masih ada kelompongan atau ruang yang mesti ditambah baik oleh SPR dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan bermula daripada sebelum pengumuman tarikh penamaan calon sehingga peringkat pengumuman calon yang menang pilihan raya.
"Proses di antara dua perkara itu sangat kritikal dan mesti dipantau dengan teliti terutama ketika berlangsungnya kempen yang kemudiannya proses pengiraan undi bagi mencapai demokrasi dan kerajaan yang berkualiti supaya kemenangan dicapai secara bermaruah dan bebas rasuah tanpa memanipulasi jentera atau logistik kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, parti itu juga berharap agar badan bebas atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) serta Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik akan memainkan peranan lebih penting pada PRN Johor selain mengemukakan input penambahbaikan proses pilihan raya kepada kerajaan. - Bernama