SIAPA sangka daripada menjual kepak ayam goreng di tepi jalan untuk mencari wang lebih, kini tiga sekawan ini mampu untuk membuka sebuah kedai di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi apabila perniagaannya bertambah maju.
Salah seorang pengasas Fatcatbangi, Mohd Izzat Emir Basarudin, 29, menceritakan idea perniagaan ini tercetus pada tahun 2017 apabila dia dan rakan-rakannya, Abdul Mu’izuddin Abdul Razak, 29 dan Muhammad Adlan Shahmi, 29, ingin mencari duit tambahan demi menampung hidup mereka semasa bekerja di sebuah restoran di Putrajaya satu masa dahulu.
Emir yang merupakan anak jati Gurun, Kedah berkata, mereka menggunakan kepakaran yang mereka ada di tempat kerja untuk menjual kepak ayam goreng pada waktu malam di sebuah gerai berhadapan kedai dobi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.
Menurutnya, perniagaan mereka yang pada awalnya hanya suam-suam kuku mula mendapat perhatian apabila ciapan yang dimuat naik oleh Emir di Twitter tular di media sosial.
Setelah bisnes mereka bertambah maju lantaran ciapan tular itu, mereka bertiga nekad untuk berhenti kerja dan tidak lagi menoleh ke belakang untuk terus menceburkan diri dalam dunia perniagaan secara serius.
"Kami pun tak sangka kami boleh berkembang ke tahap ini sebab kami tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap perniagaan ini kerana ia hanyalah sebagai duit tambahan.
"Tapi lepas ciapan saya tular, kami bertiga tidak lagi menoleh ke belakang dan berpendapat bahawa perniagaan ini berpotensi besar untuk pergi lebih jauh.
"Oleh itu, kami membuat keputusan untuk berhenti kerja di restoran tersebut dan meneruskan perniagaan ini secara sepenuh masa,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Mu’izuddin yang juga salah seorang pengasas Fatcatbangi mengakui bahawa setiap perniagaan mempunyai cabarannya yang tersendiri.
Apabila mereka berniaga di gerai tepi jalan dahulu, salah satu cabaran yang perlu mereka hadapi adalah faktor cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika musim hujan yang mana kadangkala angin yang bertiup itu mampu mengganggu operasi perniagaan mereka.
Selain itu, ruang penyediaan yang sempit juga menyurkarkan proses penyediaan makanan terutamanya ketika perniagaan mereka mulai tular di media sosial.
"Bila awal-awal tular, kami tak mampu mengendalikan jumlah pelanggan yang ramai.
"Namun lama-kelamaan, kami mula menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut dengan berhenti kerja daripada restoran tempat kami bekerja dan fokus menjalankan perniagaan ini sepenuh masa,” katanya yang lahir di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Abdul Mu’izuddin juga berkata, perniagaannya turut terkena tempias apabila produk mereka iaitu kepak ayam goreng bersalut sos itu dibandingkan dengan jenama-jenama lain yang bersaing dalam pasaran.
Berbeza daripada jenama lain, mereka mencipta resepi kepak ayam goreng itu menggunakan bahan-bahan yang mudah didapatkan dalam pasaran tempatan, selain daripada penawaran harga hidangan yang jauh lebih murah dan berbaloi.
"Kami menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi daripada pasar raya tempatan jadi kosnya lebih rendah berbanding jika kami menggunakan bahan import yang jauh lebih mahal harganya.
"Menu yang kami hasilkan juga sesuai dengan selera dan tekak orang Malaysia,” katanya.
Dari segi pelanggan yang datang membeli makanan di premis mereka, Muhammad Adlan menjelaskan mereka berjaya menarik ramai orang daripada pelbagai latar belakang dan usia.
Katanya, majoriti pelanggan adalah daripada golongan pelajar di universiti sekitarnya, golongan pekerja dan mereka yang sudah berkeluarga.
"Sebelum ini, kami dah pernah buka dua cawangan, satu gerai di Seksyen 7 dan satu lagi di De Centrum Mall, Bangi.
"Tapi, kami buat keputusan untuk membuka kedai di Seksyen 9 Bangi ini kerana ingin fokuskan kepada satu tempat sahaja,” katanya yang juga lahir di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Bertanyakan tentang perancangan masa depan, Muhammad Adlan berhasrat ingin membuka cawangan lain di Shah Alam dan Subang Jaya bagi mengembangkan sayap perniagaan mereka.
Selain itu, mereka juga berhasrat untuk menghasilkan produk mereka sendiri, iaitu sos saduran ayam goreng.
"Sebelum ini, kami pernah menjual sos saduran ayam goreng.
"Tapi oleh kerana mungkin terdapat kelemahan daripada proses pembuatan, kami akan cuba tambahbaik dari aspek tersebut dan mempunyai kumpulan kerja khas untuk menghasilkan produk tersebut,” katanya.