SHAH ALAM - Impian Malaysia untuk bebas dari gejala rasuah semakin sukar untuk dicapai apabila kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berada di tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara.
Ia sekaligus mencatatkan kemerosotan apabila pada tahun 2020 Malaysia berada di tangga 57 dan 51 pada 2019.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan berkata, markah dan pangkat CPI Malaysia yang telah jatuh tersebut jelas menunjukkan negara langsung tidak mencapai kemajuan yang diharapkan.
Menurut beliau, antara sebab kemerosotan skor adalah kerana tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan sedia ada dan kerajaan sebelum ini dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di Malaysia.
Contohnya, Rang Undang-Undang (RUU) pembiayaan politik yang dijadualkan dibentang di Parlimen oleh dua kerajaan sebelum ini masih belum terlaksana.
Pembiayaan politik seharusnya dibentangkan di Parlimen agar semua pihak dapat mengetahui sumber dan juga pengeluaran dana setiap parti tersebut berlaku.
"Begitu juga dengan draf RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang 'dilonggarkan' kepada versi tidak efektif dan dijenamakan semula sebagai RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC),” ujarnya.
Muhammad berkata, kurangnya kehendak dalam memperbaharui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi anti-rasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen seperti yang dicadangkan pada 2015 turut menjadi penyumbang.
Jelas membuktikan bahawa gesaan pelbagai pihak untuk menjadikan SPRM sebagai badan bebas perlu disegerakan agar Malaysia menjadi negara yang benar-benar mencegah korupsi.
Apabila SPRM dijadikan sebagai badan bebas, ia lebih mudah untuk menyiasat tanpa sebarang ikatan daripada mana-mana pihak.
Terdapat pelbagai lagi punca yang menyebabkan CPI Malaysia merosot ke tangga 62 dan perkara tersebut perlu diatasi dengan segera agar tidak selamanya menjadi merosot.
Situasi yang hadapi ini amat membimbangkan dan perubahan menuju kedudukan yang lebih baik adalah sukar melainkan kerajaan mengambil tindakan tegas dan lantang untuk mempercepatkan pembaharuan institusi berkenaan.
Kerajaan diminta untuk mengambil langkah tegas dan jelas untuk menangani penurunan skor ini dan menunjukkan komitmen menangani dan memperbaiki skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI.
Pelbagai kesan positif yang akan diterima sekiranya kerajaan berjaya menangani penurunan skor ini antaranya dari segi faktor ekonomi Malaysia yang akan berkembang lebih pesat.
Jangan sesekali mengabaikan dan mendiamkan gejala rasuah, kelak negara yang akan menghadapi kesan negatif.