PORT DICKSON - Loji pemprosesan dan pemulihan sisa pepejal, Solid Waste Modular Advanced Recovery and Treatment (Smart) sisa kepada tenaga (WTE) pertama di Malaysia yang dibina Cypark Resources Bhd, dijangka memulakan operasinya Jun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, pembinaan loji berkenaan mengikut standard yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Saya berpuas hati melihat status kemajuan di loji ini dengan cara pembinaan dan pelannya yang mengikut standard JAS, sama seperti yang saya dilihat di negara- negara lain yang saya pernah lawati.
"Namun terdapat beberapa perkara yang perlu dikemaskan lagi termasuk keadaan jalan, jadi saya akan berunding dengan pihak Cypark dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan untuk melihat proses yang harus diteliti balik untuk dipercepatkan bagi memastikan ia boleh beroperasi pada Jun nanti," katanya.
Zuraida ditemui pemberita selepas melawat tapak loji berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong dan Ketua Pegawai Eksekutif Cypark Resources Bhd Datuk Daud Ahmad.
Kemudahan Smart WTE dijangka dapat menerima kapasiti 1,000 tan metrik sisa pepejal setiap hari dan berupaya menghasilkan 20 Megawatt (MW) hingga 25MW tenaga hijau yang mencukupi untuk menjana kuasa kepada 25,000 isi rumah di sekitar loji itu.
Ia mula dibina pada 2016 di atas tanah seluas 70 hektar di Ladang Tanah Merah di sini dan melibatkan kos sebanyak RM300 juta. - Bernama