PASIR GUDANG -"Keadaan terkawal, Alhamdulillah,” jelas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian selepas hadir ke pusat saringan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, di sini sebentar tadi.
Osman berkata, kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada semua jabatan dengan baik dan mengulangi bahawa keadaan semasa adalah terkawal.
Ditanya sama ada berlaku sebarang kecemasan ketika kunjungannya di pusat saringan tersebut, katanya, segalanya ‘okay’ dan dapat ditangani oleh para petugas.
"Kalau ada pun sedikit-sedikit, orang yang datang untuk mendapat rawatan secara.. kata orang tu bukanlah berat sangat. Tapi dia rasa macam tak selesa, itu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, kerja pembersihan Sungai Kim Kim yang tercemar sisa bahan kimia juga telah dilakukan sejauh 1.2 kilometer.
"Ada baki 0.3 kilometer dan kita akan dapat selesaikan dalam selewat-lewatnya satu hingga dua hari ini,” katanya.
Osman berkata, dari segi bilangan pesakit pula, tiada penambahan berlaku, sebaliknya penurunan.
"Di hospital pun, mana yang ICU itu hari, sebahagiannya sudah tak ada lagi. Sudah tiada kes-kes yang macam itu hari. Sebenarnya sehari demi sehari makin menurun. Terkawal semua sekali,” katanya.
Beliau mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat antaranya polis, tentera, bomba dan Kementerian Kesihatan.
"Bomba yang pada awal dapat tahu antara pukul 2 hingga pukul 5 pagi, (kemudian) pukul 7.15 pagi dia sudah masuk (lokasi). Bomba dan polis. Betul-betul komited dalam hal ini.
"Dan juga daripada MERCY, Petronas, dan juga sukarelawan-sukarelawan yang lain. Dari segi bentuk bantuan tenaga, masa dan juga wang ringgit.
"Saya ambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih. Budimu akan sentiasa dikenang. Itulah yang kita hendakkan supaya rakyat Malaysia prihatin terhadap apa-apa sekalipun. Bukan hanya komen, tetapi memberikan sumbangan. Itu yang kita hendakkan,” katanya.
Ditanya mengenai kunjungannya ke Batam, Indonesia baru-baru ini, secara ringkas beliau memaklumkan perkara itu bukan cerita pada hari ini.
"Kita lebih serius dalam soal ini (isu pencemaran dan keselamatan rakyat),” katanya.