Tiada lambakan rumah tak terjual di Perak

Iklan
Saarani (dua dari kanan) melihat projek yang dilaksanakan oleh Syarikat Team Keris Berhad ketika mengadakan lawatan ke Projek Silverlakes Brand Village di Tapak Pembangunan Spanish Gardens by the Water pada Rabu.

BATU GAJAH - Perak tidak mempunyai masalah lambakan rumah tidak terjual susulan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun pandemik Covid-19 memberi sedikit kesan terhadap jualan hartanah di negeri ini, keadaan menunjukkan tanda pemulihan.

Iklan
Iklan

Malah katanya, sasaran kerajaan negeri untuk mewujudkan 50,000 unit rumah dalam tempoh lima tahun di bawah program Rumah Perakku berjalan seperti yang dirancangkan.

"Tiada (lambakan rumah tidak terjual". Sebelum pandemik memang kita dapati tawaran penjualan ini seperti biasa tetapi akibat pandemik itu agak terencat. Tapi setelah itu saya lihat jualan kembali baik.

Iklan

"Persediaan kita ke arah 50,000 unit itu juga berjalan seperti biasa dengan keyakinan, kita memang ada permintaan daripada pembeli," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Silverlakes Brand Village di Tapak Pembangunan Spanish Gardens by the Water di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat Team Keris Berhad, Datuk Lee Seng Hee; Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dan beberapa tetamu jemputan lain.

Iklan

Mengenai projek Spanish Gardens by the Water oleh Syarikat Team Keris Berhad itu, Saarani berkata, sejak pelancaran pada suku pertama tahun 2021, ia merekodkan prestasi jualan yang baik hasil sokongan daripada pembeli, institusi kewangan serta hartanah sekali gus menggambarkan potensi pembangunan lebih pesat kawasan Batu Gajah pada tahun-tahun mendatang.

Menurutnya, kepesatan semula pembangunan di Batu Gajah dan kawasan-kawasan lain memberi indikator yang menjadi penanda aras bahawa Perak berada pada landasan betul dalam melaksana serta menjayakan langkah-langkah pemulihan ekonomi.

Jelas Saarani, kerajaan negeri akan terus komited menjalin sinergi dan kolaborasi yang lebih baik termasuk dengan pihak swasta untuk kembali memacu ekonomi negeri selepas mengalami penguncupan dalam tempoh lebih dua tahun susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Seng Hee yang ditemui pemberita memaklumkan pembangunan Spanish Garden melibatkan kos RM500 juta manakala projek Bandar Terusan pula menelan belanja sekitar RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion di atas tanah seluas 200 hektar.

Menurutnya, fasa satu bagi projek Spanish Garden tersebut berjaya dijual dalam tempoh hanya dua bulan walaupun ketika itu berlaku pandemik.

Projek Rumah Perakku yang diumumkan kerajaan negeri pada tahun 2018 meliputi tiga jenis rumah iaitu rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik.

Rumah kos rendah menawarkan harga RM70,000 (bagi kawasan daerah) dan RM90,000 (bandar), kos sederhana rendah RM150,000 (daerah) dan RM 180,00 (bandar) manakala rumah mampu milik ditawarkan dengan harga RM250,00 ke bawah.