CPI Malaysia 2021 memalukan: GARAS

Iklan
Maimunah bergambar kenangan bersama kenderaan Rasuah Busters.

SHAH ALAM - Gerakan Anti Rasuah Nasional (GARAS) menyifatkan kemerosotan negara untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 adalah satu keputusan memalukan dan menjengkelkan seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Dr Maimunah Sargeant berkata, kajian dapatan yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) itu bukan sahaja memalukan rakyat, malah imej kerajaan di mata dunia

Iklan
Iklan

Katanya, keputusan tersebut menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi secara keseluruhannya.

"Kedudukan Malaysia yang terus merosot iaitu di tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 amat menjengkelkan dan pastinya ini amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

Iklan

"Antara menjadi penyebab utama menyumbang kepada kemerosotan Malaysia dalam CPI 2021 adalah tindakan terpilih dan berhati-hati oleh pihak kerajaan dalam membendung aktiviti rasuah politik yang semakim 'barah' dalam masyarakat.

"Selain itu, kemerosotan CPI negara juga terjadi akibat kegagalan berterusan pihak kerajaan dalam mengukuhkan hak asasi manusia di peringkat Parlimen," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Maimunah berkata, isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengenai ‘integriti’ telah menambah luka kemerosotan Malaysia dalam CPI 2021.

Menurutnya, isu Azam menjadikan SPRM seolah-olah sebuah institusi yang benar-benar tidak bebas, di samping kurangnya ketelusan dalam hal berkepentingan awam seperti kontrak rundingan langsung disebabkan tafsiran longgar mengenai Akta Rahsia Rasmi.

Selain itu katanya lagi, tindakan SPRM 'melepaskan' beberapa individu yang telah didakwa di mahkamah dalam kes berprofil tinggi juga antara penyumbang kepada kemerosotan Malaysia dalam CPI tersebut.

Tegasnya, penurunan markah CPI Malaysia pada 2021 juga menyebabkan negara kini berada dalam kelompok dua pertiga negara yang mencatatkan skor di bawah 50.

Tambahnya lagi, kegagalan kerajaan untuk melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Nasional yang dirangka pada 2019 untuk tempoh lima tahun iaitu antara 2019 hingga 2023 dilihat telah meranapkan cita-cita untuk membawa Malaysia berada dalam kelompok negara yang berjaya memerangi rasuah.

"Kerajaan disarankan untuk membawa dasar awam yang lebih komprehensif bagi membendung amalan rasuah, sekali gus menghentikan jenayah itu daripada terus 'barah' dan 'berdarah' di Malaysia," katanya.