'Majoriti mahu BN bergerak solo tapi pucuk pimpinan akan teliti'

Iklan
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) dan Mohamad (empat dari kiri) pada Majlis Pertemuan Pimpinan Parti Komponen BN di Pejabat UMNO Johor pada Rabu.

JOHOR BAHRU - UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih belum menetapkan sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan Pas atau bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemimpin tertinggi akan meneliti sebaiknya setiap perkara berkaitan kerjasama dengan Pas sebelum sebarang keputusan dibuat.

Iklan
Iklan

"Majoriti kepimpinan di peringkat bahagian dan akar umbi mahu BN bergerak solo pada PRN kali ini tetapi pucuk pimpinan akan teliti sebaiknya sebelum apa juga keputusan akan dibuat.

"Dulu pun, perkara ini diperkatakan sewaktu PRN Melaka. Kita kena lihat dan kaji dulu kerjasama Pas supaya keputusan yang dibuat nanti mendatangkan keuntungan kepada parti," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan komponen BN di Pejabat UMNO Johor pada Rabu.

Ahmad Zahid bagaimanapun meninggalkan perkarangan Pejabat UMNO Johor selepas majlis.

Iklan

Pada Jumaat, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, Pas akan berbincang dengan UMNO untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Johor jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Jelasnya selain UMNO, parti itu akan berbincang dengan rakan politik yang lain bagi membentuk kerjasama baik.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pandangan beberapa pihak mengenai BN sukar mendapat kemenangan dua pertiga sekiranya bergerak solo pada PRN Johor, Mohamad menafikan perkara itu.

"Saya setuju atau tidak ia tidak penting tetapi dulu perkara ini juga diperkatakan pada PRN Melaka.

"Apa yang penting gerak kerja jentera parti. Kita perlu dekati seramai boleh pengundi kerana BN bukan bermula dengan kosong tetapi kita sudah ada ramai pengundi asas," katanya.