SEVILLA akhirnya berjaya mendapat khidmat penyerang Manchester United, Anthony Martial dalam mengharungi baki musim ini selepas pemain antarabangsa Perancis itu mengesahkan perpindahan secara pinjaman dari Old Trafford.
"Sevilla FC dan Manchester United mencapai persetujuan yang menyaksikan Anthony Martial menyertai kelab itu secara pinjaman sehingga akhir musim semasa,” kata kelab La Liga itu dalam satu kenyataan.
Iklan
Iklan
Pemain berusia 26 tahun yang menyertai United pada musim 2015/16 telah menjaringkan 79 gol dalam 269 penampilan sebelum ini hanya memulakan dua perlawanan liga utama musim ini dengan penampilan terakhirnya sebagai pemain simpanan ketika The Red Devils melakar kemenangan 1-0 ke atas West Ham United.
Dalam pada itu, pengendali sementara United, Ralf Rangnick memuji tahap profesionalisme Martial selepas kemenangan hujung minggu ke atas The Hammers, walaupun penyerang tersebut menyatakan dengan jelas bahawa dia mahu meninggalkan kelab berkenaan.
"Saya tahu bahawa dia adalah pemain terbaik - salah seorang penyerang terbaik dalam Liga Perdana, tetapi kami mempunyai pemain lain dalam kedudukannya.
"Ia adalah hasratnya untuk pergi tetapi seperti yang saya katakan kepadanya, ia sentiasa mengambil bahagian yang berbeza untuk mencari persetujuan,” kata Rangnick.
Sevilla kini berada di tangga kedua La Liga, empat mata di belakang pendahulu Real Madrid dan 11 mata di depan Barcelona, berharap kehadiran Martial dapat memacu prestasi dalam pemburuan gelaran pertama sejak kempen 1945/46.