CANBERRA - AUSTRALIA . Penduduk di bandar Grafton yang melihat Brenton Tarrant membesar berkata, mereka tidak menyangka lelaki berkenaan sanggup melakukan serangan ganas membabitkan dua buah masjid berasingan di Christchurch, Jumaat lalu.
Tarrant dibesarkan di sebuah rumah sederhana di pinggir Grafton, bandar yang dihuni kira-kira 20,000 orang berhampiran Sungai Clarence, utara negeri New South Wales.
Jennifer Huxley, wartawan Australian Broadcasting Corp yang pernah menuntut di sekolah yang sama dengan Tarrant berkata, rakan sekelas mengingatinya sebagai 'joker' dalam kelas.
Bagi kakitangan sekolah, mereka mengingatinya sebagai pelajar yang suka membuat kacau dan kadangkala berlaku kejam terhadap rakan sekelas.
"Sukar untuk guru percaya bahawa bekas pelajar mereka terlibat dalam insiden yang terjadi di Christchurch," kata Huxley.
Selepas sekolah tinggi, Tarrant menjadi jurulatih peribadi di Pusat Skuash dan Kesihatan Big River, di mana dia pernah berlatih dan menjadi obses membina kekuatan.
"Saya hanya memerlukan matlamat atau objektif untuk dicapai," kata Tarrant di laman sosial pada 2011,setahun selepas ayahnya meninggal dunia.
Tarrant kemudian mengembara keliling dunia termasuk New Zealand dan polis Australia mendakwa dia jarang menghabiskan masa di negara asalnya selama lebih empat tahun.
Menurut Tarrant, ketika berada di Eropah pada 2017, mula terbit perasaan rasis dalam dirinya dan ia berkemungkinan menjadi punca utama yang mendorongnya melakukan serangan berdarah di Christchurch, Jumaat lalu.- AP