SHAH ALAM - Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) menganggap dakwaan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memperlekehkan kemampuan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengeluarkan hampir 400 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), baru-baru ini.
Presiden Alumni UPM, Datuk Raihan Sharif berkata, jumlah graduan PhD bukanlah sesuatu yang pelik kerana ia sejajar dengan sasaran Pelan Induk Kementerian Pengajian Tinggi 2015-2025.
Menurutnya, pelan induk itu memerlukan universiti tempatan mengeluarkan sebanyak 60,000 pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang menjelang 2030.
"Usaha murni UPM selaras dengan dasar tersebut yang sepatutnya diberi galakkan dan sokongan padu. Malah UPM juga mengucapkan terima kasih ke atas keprihatinan Shamsul Iskandar yang menyentuh bilangan graduan yang dianggap menjejaskan kualiti Ijazah PhD.
"PAUPM tidak akan melibatkan sebarang urusan politik dalam mencapai apa jua motif dan sebenarnya UPM amat terkesan serta malu atas dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Raihan berkata, sekirana dakwaan itu benar, PAUPM menjadi pihak pertama yang akan mendesak UPM memperbetulkan segera supaya alumni UPM tidak dilabel ‘cap ayam’.
Jelas beliau, fakta sebaliknya menunjukkan kemampuan UPM untuk mengeluarkan ramai graduan PhD berkualiti tidak harus dipertikaikan.
"UPM merupakan antara universiti awam terbaik di negara ini yang mempunyai keupayaan dan kemudahan untuk mengeluarkan lebih ramai graduan PhD yang berkualiti.
"Berdasarkan bilangan pensyarah yang mempunyai PhD melebihi 1,600 orang dan UPM berupaya untuk mengeluarkan lebih daripada 400 orang graduan PhD setiap tahun.
"Malah ramai antara pensyarah-pensyarah telah mendapat pengiktirafan kecemerlangan dan kepakaran dalam bidang masing-masing,” ujarnya.
Jelas beliau, laporan yang dikeluarkan oleh Standford University USA pada 2021 menyenarakan 54 pensyarah UPM diiktiraf sebagai World’s Top 2 peratus Saintis dan ia merupakan pencapaian terbesar.
"Adalah mustahil pensyarah-pensyarah ini tidak dapat memastikan graduan-graduan Ph.D di bawah selian mereka ke tahap kualiti terbaik, yang secara tidak langsung boleh menjejaskan professionalism mereka sendiri.
"Proses untuk menganugerahkan ijazah doktor falsafah bukan hanya bergantung kepada pensyarah UPM sahaja kerana setiap tesis yang dikemukakan perlu mencapai kualiti untuk diterbitkan ke dalam jurnal penyelidikan berindeks.
"Ia juga perlu disemak bersama tiga pemeriksa termasuk satu pemeriksa luar dari universiti luar negara. Akhirnya calon PhD harus berjaya dalam pemeriksaan viva voce sebelum diiktiraf Senat UPM,” katanya.
Jelas beliau lagi, UPM bukan sewenang-wenangnya seperti kilang mengeluarkan sijil ijazah doktor falsafah tanpa jaminan kualiti.
"Sekiranya masih tidak berpuas hati, PAUPM mengalu-alukan Shamsul Iskandar sendiri yang mendaftar untuk program ijazah doktor falsafah di UPM untuk memastikan kesahihannya," katanya.