KUALA LUMPUR - Lokasi kanak-kanak terjatuh pada sebuah lubang di Kolam Biru, Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) yang tular di media sosial Khamis lalu telah pun dipasang penutup besi.
Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati terdapat pengadang kon serta notis memaklumkan kawasan itu sedang dalam penyelenggaraan.
Pengawal keselamatan bertugas, Faiz Nazri, 28, berkata, besi penutup lubang itu dipasang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Selasa.
Faiz berkata, dia tidak pasti tarikh sebenar kejadian tersebut dan hanya mengetahuinya melalui video tular.
"Sebelum ini pihak DBKL ada ke lokasi bagi menjalankan siasatan sejurus video kanak-kanak terjatuh itu tular, namun saya tiada maklumat tersebut memandangkan tiada pihak yang membuat aduan.
"Ada empat orang bertugas di dua pondok pengawal, kami akan membuat rondaan setiap sejam bagi memantau lokasi ini yang beroperasi 24 jam," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dia berkata, kawasan itu menjadi tumpuan warga kota beriadah sejak ia dibuka cuma ketika pandemik Covid-19 kawasan itu kurang pengunjung dan hanya meriah pada malam minggu.
Pada Khamis, tular sebuah video berdurasi 47 saat memaparkan aksi kanak-kanak berlari sebelum terjatuh ke dalam kolam paras buku lali itu.
Menurut laporan Bernama pada Selasa, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim memberitahu DBKL sedang meneliti kaedah terbaik bagi meningkatkan ciri keselamatan di kawasan itu.
Shahidan memberitahu, DBKL sudah menutup bahagian kolam yang terdedah dan tidak dipagar itu menggunakan papan platform selain meletakkan penghadang jalan di kawasan terbabit.
"Bahagian kolam yang dikatakan 'berlubang' dan tidak diletakkan platform dan pagar itu bukannya rosak, sebaliknya memang direka bentuk seperti itu bagi membolehkan pengunjung menikmati dan merasai sendiri kebersihan sampel air sungai hasil projek RoL," katanya pada Selasa.
Dalam pada itu, langkah menutup 'perangkap kaki' itu disambut baik warga kota bagi mengelak kejadian lebih serius pada masa akan datang.
Pengunjung yang ditemui, Danish Mohd Norhazazidi, 19 berkata, reka bentuk asal kurang sesuai digunakan kerana mengundang risiko kepada orang awam.
"Pada waktu malam penglihatan terhad dan mungkin orang terlalu asyik melihat limpahan lampu hingga tidak sedar kolam itu terdedah dan boleh menyebabkan terjatuh terutamanya kanak-kanak.
" Jadi bagi mengelak kemalangan yang lebih teruk, lebih baik ciri keselamatan di kawasan itu dipertingkatkan memandangkan lokasinya juga bersebelahan dengan sungai utama," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Nurul Allia Izzati Azmi, 20, berkata, DBKL dan pengunjung perlu sama-sama peka dan bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan itu.
Katanya, DBKL perlu sentiasa tambah baik ciri keselamatan di lokasi tumpuan itu, pada masa sama ibu bapa juga perlu pantau keselamatan anak-anak.
Kolam Biru yang berada di kawasan pertembungan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak merupakan sebahagian daripada komponen projek RoL, dibuka kepada orang ramai pada 2017 sebagai tarikan pelancong di Kuala Lumpur.