SERI KEMBANGAN - Kejadian runtuhan tebing longkang akibat mendapan tanah di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini bukanlah kali pertama ia berlaku, malah ia pernah terjadi sejak tahun 2018.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan runtuhan di sini pada Rabu mendapati lokasi telah dihalang oleh tali kuning oleh pihak polis untuk memastikan tiada orang awam mendekati tempat berkenaan untuk tujuan keselamatan.
Hasil tinjauan turut mendapati premis-premis berdekatan kawasan runtuhan tersebut ditutup setelah diarahkan oleh pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) ekoran kejadian tersebut.
Selain itu, pihak kontraktor yang dipercayai dilantik oleh MBSJ dilihat sedang memasang cerucuk besi bagi menghalang runtuhan tanah bertambah teruk
Mohd Nazir Mohd Ghazali, 46, terkilan dengan insiden yang menimpa dirinya apabila kereta pertama yang dibelinya pada 20 tahun lalu tidak dapat diselamatkan dan terjatuh ke dalam longkang akibat mendapan tanah di sini pada petang Selasa.
Abby Nur Diana yang baru bekerja 11 bulan di premis berkenaan melihat kenderaan mula bergerak ke belakang ke arah longkang sebelum runtuhan tanah berlaku ketika dia sedang membuka pintu kepada pelanggannya masuk ke dalam kedai tersebut.
"Pagi tadi saya dimaklumkan bahawa premis ini perlu ditutup keran insiden ini, tapi saya tidak tahu sampai bila, cuma saya tahu mungkin lebih kurang seminggu (tempoh penutupan kedai).
"(Keputusan) pindah (kedai) itu tengok pada syarikat, kalau nampak semakin berbahaya, takut (untuk kekalkan premis) sebab dekat dengan lokasi kejadian," katanya.
Pada Selasa, sebanyak lima kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan itu pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.38 petang dan seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba Serdang bergegas ke lokasi kejadian.