Rumah disimbah cat biru gara-gara pinjam scammer

Iklan
Hui Mun (dua dari kanan) menunjukkan gambar keretanya yang turut disimbah cat berwarna biru gara-gara pinjaman wang scammer dibuat adiknya di Singapura semasa sidang media di Wisma MCA Perak, pada Rabu.

IPOH - Gara-gara meminjam wang dari sindiket penipuan di Singapura, sebuah keluarga di Pasir Pinji, di sini berdepan ancaman apabila rumah mereka disimbah cat berwarna biru.

Mangsa, Foo Hui Mun, 34, menjelaskan keadaan itu berlaku selepas adik lelakinya yang bekerja di Singapura membuat permohonan untuk meminjam wang berjumlah 5,000 Dollar Singapura (RM15,500) menerusi aplikasi WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun pinjaman tersebut tidak diterima, sebaliknya perlu pula membayar sejumlah wang yang disyaratkan untuk menerima wang yang mahu dipinjam itu.

"Untuk mendapatkan pinjaman tersebut, adik saya telah mengemukakan segala maklumat dan salinan kad pengenalan kepada scammer tersebut termasuk nombor telefon dua ahli keluarga.

Iklan

"Disebabkan tindakan itu, kami kini diganggu beberapa mesej yang dihantar meminta pembayaran dibuat malah mereka berani menyimbah cat berwarna biru ke rumah dan mengugut untuk membakar rumah jika bayaran tidak dijelaskan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma MCA Perak pada Rabu.

Hui Mun berkata, keluarganya kini sangat bimbang dengan ancaman yang diterima kerana selepas rumah disimbah cat pada 17 Januari lalu, hari berikutnya satu notis dihantar ke rumahnya meminta bayaran pinjaman diselesaikan segera.

Iklan

Menurutnya, dua laporan polis telah dibuat susulan kejadian tersebut bagi memastikan keselamatan keluarga terjamin selain ibu dan bapanya terpaksa tinggal di rumah lain bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menjelaskan mengenai pinjaman tersebut, Hui Mun berkata, adiknya yang bekerja sebagai tukang masak berhasrat menggunakan duit tersebut bagi tujuan pelaburan namun tidak menyangka ia satu penipuan.

Jelas wanita itu, adiknya yang berusia 30 tahun turut membuat laporan polis di Singapura berikutan ancaman dan penipuan oleh individu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Biro Khidmat Awam dan Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan berkata, pihaknya yakin pihak polis akan mengambil tindakan terhadap ancaman tersebut.

Menurutnya, aduan yang dibuat oleh mangsa sudah dipanjangkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Kita harap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan seperti ini yang sangat licik serta membahayakan bukan sahaja mangsa tetapi ahli keluarga yang lain.

"Sindiket ini sudah semakin berleluasa dan kita juga menerima banyak aduan mengenai kejadian seumpama ini sejak akhir-akhir ini," katanya.